Iconic Point ubah 'wajah' pekan Simpang Ampat

Iconic Point ubah ‘wajah’ pekan Simpang Ampat

TAN KEAN TET (tiga dari kanan) dan Chow Kon Yeow (tiga dari kiri) semasa majlis penyerahan projek Iconic Point di Simpang Ampat, Pulau Pinang, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Simpang Ampat yang menghubungkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) iaitu Bukit Tengah, Machang Bubok, Sungai Bakap dan Bukit Tambun sebelum ini dilihat agak ‘terkebelakang’ dalam pembangunan projek-projek yang bersaiz mega.

Bagaimanapun, pekan lama itu kini berubah wajah secara ‘total’ dengan kewujudan hab komersial yang diberi nama Iconic Point.

Dilancarkan sejak tiga tahun lalu, projek bernilai sekitar RM127.81 juta itu dibangunkan oleh Iconic Maison Sdn. Bhd. yang juga anak syarikat milik penuh Iconic Worldwide Berhad (IWB) dengan kerjasama anak syarikat Iconic Group iaitu Iconic Development Sdn. Bhd..

Ia dibina di atas tanah berkeluasan lebih 3.5 hektar dan mempunyai 49 pejabat kedai pegangan bebas dengan keluasan binaan kira-kira 4,350 kaki persegi untuk pejabat kedai berkembar tiga tingkat serta berkeluasan 5,556 kaki persegi untuk pejabat kedai berkembar.

Kesemua unit yang dilengkapi lif tersendiri secara bersama itu kini telah berjaya disiapkan dan akan diserahkan kepada pembeli secara berperingkat.

Pengarah Urusan IWB, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, pihaknya berbesar hati kerana diberi peluang untuk membangun serta mewujudkan satu hab gaya hidup baharu di pekan Simpang Ampat ketika ini.

“Dalam hal ini, kami menerima banyak maklum balas positif daripada cawangan jenama antarabangsa untuk membuka ‘outlet’ mereka di Iconic Point termasuk The Coffee Bean & Tea Leaf, McDonald’s, Starbucks, Family Mart dan CU Mart.

“Tidak ketinggalan ialah beberapa penyewa kami yang lain seperti ZUS Coffee, Secret Recipe dan Watsons,” katanya pada majlis penyerahan projek berkenaan yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, malam tadi.

Selain menghubungkan empat Kadun, Simpang Ampat atau Iconic Point juga terletak di lokasi strategik iaitu berhampiran persimpangan Jalan Permatang Tinggi dan Jalan Bukit Tambun serta tidak jauh dari susur keluar menuju ke Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Mengulas lanjut, Kean Tet optimis Iconic Point akan menjadi mercu tanda penting sekaligus memacu kerancakan ekonomi yang seterusnya akan membawa kepada pertumbuhan landskap hartanah di kawasan Simpang Ampat pada masa depan.

Sementara itu, Kon Yeow berharap agar Iconic Point mencontohi pencapaian yang dilakar oleh Icon City di Bukit Tengah dalam menjadi sebuah hab komersial yang berjaya.

“Kerajaan negeri juga akan sentiasa bekerjasama dengan mana-mana sektor swasta dalam memajukan Seberang Perai pada masa depan kerana kawasan ini secara amnya sangat berpotensi dari segi ekonomi, pertanian, pembangunan sosial dan sebagainya,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN