ICON cadang lupus Rig pada nilai AS$85 juta

ICON cadang lupus Rig pada nilai AS$85 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Icon Offshore Berhad (ICON), menerusi anak syarikat milik penuhnya, Icon Caren (L) Inc telah memeterai perjanjian jual beli dengan ADES Arabia Holding untuk cadangan pelupusan Perisai Pacific 101 (Rig) dengan nilai kira-kira AS$85 juta (RM381.7 juta).

Cadangan pelupusan tersebut bergantung kepada kelulusan pemegang saham ICON pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan dalam masa terdekat.

ICON melalui unit milik penuhnya Icon Fleet Sdn Bhd telah membeli Rig dan aset berkaitannya daripada Perisai Petroleum Teknologi Bhd. sebanyak AS$42.54 juta (RM177 juta) pada Oktober 2020.

Pengarah Urusan ICON, Datuk Seri Hadian Hashim berkata, pemerolehan Rig memberi peluang kepada syarikat untuk beralih ke dalam perniagaan penggerudian luar pesisir pada harga yang sangat menguntungkan.

“Perniagaan ini menyediakan sumber pendapatan tambahan sebagai sebahagian daripada inisiatif pertumbuhan perniagaan jangka panjang syarikat.

“Ini bertujuan untuk meningkatkan dan meluaskan penawaran produk dan perkhidmatannya untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan untuk berubah menjadi penyedia perkhidmatan bersepadu,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Hadian berkata, kenaikan harga minyak yang didorong oleh pelbagai persekitaran global telah memberi kesan yang baik kepada segmen huluan.

Menurutnya, aktiviti yang teguh dalam sektor huluan telah mendorong permintaan untuk perkhidmatan huluan yang mengakibatkan kenaikan kadar sewa dan harga aset sejak 2001.

“Walaupun perkembangan ini akan terus memberi kesan positif terhadap prestasi kewangan keseluruhan ICON, strategi awal untuk meningkatkan kehadirannya dalam segmen penggerudian melalui pemilikan aset selanjutnya semakin mencabar untuk dilaksanakan, memandangkan harga aset telah meningkat dengan ketara.

“Ditambah dengan turun naik yang berterusan dalam sektor ini, ia memerlukan penilaian semula strategi awalnya berkaitan dengan pengembangan aset.” ujarnya.

Tambahnya, cadangan pelupusan tersebut memberi peluang kepada syarikat untuk memperoleh hasil pelaburan dalam Rig pada keuntungan yang ketara sebanyak RM185.5 juta.

Jelasnya, perkara tersebut akan memberikan ICON kekuatan kewangan untuk mempelbagaikan bidang perniagaan lain seperti menerokai segmen ruang dan perkhidmatan tenaga baharu melalui strategik penggabungan dan pengambilalihan (M&A). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×