Hong Leong Bank galak budaya bayar tanpa tunai di Sekinchan

Hong Leong Bank galak budaya bayar tanpa tunai di Sekinchan

NG Suee Lim (kiri) dan Kee Ching Hua menunjukkan kod aplikasi tanpa tunai di gerai peniaga pantai Bagan Sekinchan di Sungai Besar, - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BESAR: Hong Leong Bank Bhd. (HLB) bekerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) bagi menjayakan ‘Projek Kampung Tanpa Tunai’ pertama di negara ini iaitu di Sekinchan.

Ia menjadikan kawasan tersebut sebagai lokaliti bukan bandar pertama di negara ini yang ‘didayakan pembayaran tanpa tunai’.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Domenic Fuda berkata, projek tersebut bertujuan menggalakkan penduduk bandar kecil tersebut menggunakan kaedah pembayaran terkini.

“Pembayaran tanpa tunai memastikan penduduk Sekinchan akan mendapat akses kepada kemudahan dan perkhidmatan perbankan sepenuhnya.

“Dalam masa yang sama, memperkasakan 800 pemilik perniagaan kecil untuk mendigitalkan perniagaan mereka melalui penerimaan pembayaran tanpa tunai dan tanpa sentuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena lawatan media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim untuk melihat dengan lebih dekat usaha untuk mengubah perkampungan nelayan terkenal itu menjadi ‘kampung tanpa tunai’.

Jelas Domenic lagi, langkah untuk mengubah Sekinchan menjadi perkampungan tanpa tunai pertama di Malaysia adalah selaras dengan strategi ‘Teras Digital’ bank itu untuk memasukkan nilai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kewangan secara digital.

Sementara itu, menurut Suee Lim, projek yang bertujuan merapatkan jurang bandar-luar bandar dari segi penerimaan pembayaran tanpa tunai amat dialu-alukan.

“Memandangkan Sekinchan adalah sebuah bandar kecil dan destinasi kegemaran pelancong, saya menyokong penuh penggunaan transaksi tanpa tunai. Ini kerana, kebanyakan pelancong lebih suka pembayaran tanpa tunai, dan pada akhirnya, ini akan membantu meningkatkan ekonomi tempatan,” katanya.

Bagi penjual nasi lemak, Jamal Jalil, 66, yang berpengalaman berniaga di Shah Alam dan Sekinchan selama lebih 40 tahun, sistem pembayaran tanpa tunai jauh lebih mudah kerana dia tidak perlu menyediakan banyak pertukaran wang seperti sebelum ini.

“Sistem ini memudahkan saya untuk fokus kepada penyediaan makanan dan tidak bimbang untuk menjaga wang tunai di dalam laci seperti dulu. Cuma imbas sahaja telefon pada kod yang disediakan. Walaupun sukar kepada golongan veteran untuk menggunakan aplikasi tanpa tunai, satu hari nanti mereka akan biasa juga,”katanya.

Peniaga hasil laut di pantai Bagan Sekinchan, Kee Ching Hua, 60, pula berkata, dia teruja menggunakan aplikasi tersebut yang mendapat banyak permintaan daripada golongan muda.

Katanya, ramai pelancong yang jarang membawa wang dalam jumlah yang banyak atas faktor keselamatan.

“Sekarang para pelancong luar dan tempatan boleh membayar menggunakan aplikasi tanpa tunai untuk membuat pembayaran. Lebih mudah dan sebagai peniaga saya tidak perlu menyediakan wang kecil setiap hari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×