Honda panggil semula 702 kenderaan atas faktor keselamatan

Honda panggil semula 702 kenderaan atas faktor keselamatan

HONDA City
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Honda Malaysia panggil semula  sebanyak 702 kenderaan proaktif yang melibatkan City Hybrid dan Civic sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga.

Menurut kenyataan Honda Malaysia, panggilan semula tersebut melibatkan 630 unit City Hybrid model tahun 2021 dan 72 unit Civic model tahun 2022.

Katanya, panggilan semula tersebut disebabkan kamera Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang tidak aktif.

“Panggilan semula ini adalah langkah keselamatan berjaga-jaga untuk menggantikan kamera ADAS yang dipasang pada cermin depan. Kamera mungkin tidak berfungsi dengan betul dan menyebabkan ADAS tidak aktif semasa memandu. Sebanyak 630 unit City Hybrid terjejas.

“Kedua, melibatkan langkah keselamatan berjaga-jaga untuk membetulkan titik kimpalan pada pelaras slaid di tempat duduk pemandu.

“Ia boleh menyebabkan tempat duduk pemandu tidak dipasang pada kedudukan semasa memandu dan boleh menjejaskan perlindungan tali pinggang keledar untuk pemandu. Sebanyak 72 unit kereta Civic terlibat,” katanya.

Honda Malaysia berkata, pihaknya memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa model pengeluaran dan jualan semasa yang lain tidak terjejas dengan panggilan semula tersebut.

Katanya,  tiada insiden kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh isu itu dilaporkan di Malaysia sehingga kini.

“Syarikat percaya penarikan balik produk ini perlu kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaan Honda Malaysia. Honda Malaysia akan terus menegakkan ketelusan dan mengetatkan kawalan untuk pelanggan.

“Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan yang akan menyertakan butiran penarikan balik produk.

“Kami menggesa semua pelanggan yang terjejas untuk menghubungi mana-mana pengedar rasmi Honda untuk membuat temu janji selepas menerima pemberitahuan untuk memeriksa dan membaiki kenderaan mereka jika perlu dan tertakluk kepada ketersediaan alat ganti,” ujarnya.

Tambahnya, pelanggan digalakkan untuk memuat turun dan mengemas kini butiran mereka melalui aplikasi mudah alih HondaTouch untuk pengesahan lanjut mengenai panggilan semula itu.

Jelasnya, pemeriksaan, pembaikan dan penggantian bahagian yang terjejas adalah percuma dan semua kos berkaitan aktiviti panggilan semula akan ditanggung oleh Honda Malaysia.

Pemilik kenderaan boleh mendapatkan maklumat atau menyemak status kenderaan mereka mengenai panggilan semula dengan menghubungi nombor bebas tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020 atau log masuk ke productrecall.honda.com.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN