GENTARI tingkat usaha pacu peralihan tenaga bersih bersepadu

GENTARI tingkat usaha pacu peralihan tenaga bersih bersepadu

ISMAIL Sabri Yaakob mencuba peralatan mengecas kenderaan elektrik GENTARI selepas pelancaran kemudahan itu di Kuala Lumpur, kelmarin. Turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh (dua dari kanan) dan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz (empat dari kanan). – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembekal penyelesaian tenaga bersih, Gentari Sdn. Bhd. (GENTARI), yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin, berhasrat menjadi pembekal tenaga bersih bersepadu dan sehenti.

Entiti milik penuh Petronas itu berhasrat menawarkan rangkaian penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau untuk pelanggan komersial, perindustrian dan runcit.

Bagi mewujudkan kelainan berbanding pesaing lain, GENTARI berhasrat untuk memenuhi pelbagai aspek keperluan pelanggan melalui penyediaan satu portfolio penyelesaian berasaskan model bersepadu yang merentas rantaian nilai elektron, sekali gus mempermudah usaha ke arah sifar bersih.

Pengerusi GENTARI, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, sejak diperkenalkan pada awal tahun ini, GENTARI telah mencapai perkembangan yang menggalakkan dalam usaha membekalkan tenaga karbon rendah dan membantu pelanggan di dalam dan luar Malaysia untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Beliau yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas berkata, perkembangan tersebut terhasil menerusi penyediaan penyelesaian dan sistem yang mudah diakses pada kadar berpatutan, yang dijana hasil pengeluaran dan infrastruktur berskala.

“Seiring dengan langkah merealisasikan aspirasi GENTARI, kami berhasrat untuk menyumbang secara signifikan ke arah matlamat tenaga boleh diperbaharui negara dengan membantu pelanggan tempatan beralih kepada sumber tenaga lebih bersih,” katanya dalam kenyataan.

Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) menyasarkan supaya 31 peratus daripada jumlah kapasiti tenaga terpasang negara adalah daripada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025, manakala Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia menyasarkan pencapaian 40 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035.

Dalam teras Tenaga Boleh Diperbaharui, GENTARI akan membina kapasiti tenaga keseluruhan sebanyak 30-40 GW di pasaran utama menjelang 2030 menerusi projek-projek berskala utiliti merentasi tenaga solar, angin dalam dan luar pesisir pantai serta penyimpanan bateri untuk pelanggan komersial, perindustrian dan runcit.

Setakat ini, GENTARI telah mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 1.1 GWp dalam operasi dan pembangunan di peringkat global.

“Untuk teras Hidrogen pula, GENTARI menawarkan penyelesaian hidrogen rendah karbon yang kos kompetitif menerusi rangkaian bekalan global yang komprehensif untuk memenuhi permintaan eksport dan tempatan. Aspirasi GENTARI adalah untuk menjana sehingga 1.2 mtpa hidrogen bersih menjelang tahun 2030.

“Setakat ini, GENTARI telah menandatangani 12 Memorandum Persefahaman dengan rakan niaga antarabangsa bagi projek pembangunan di Malaysia, India dan Asia Barat serta pelanggan di Asia Timur, yang meliputi inisiatif untuk meneroka pembangunan projek-projek hidrogen hijau dan pengangkutannya, sokongan dasar dan kawal selia terhadap industri hidrogen, serta kajian rantaian bekalan ammonia rendah karbon dan lain-lain,” jelas syarikat itu.

Bagi teras Mobiliti Hijau pula, GENTARI berhasrat untuk menyokong ekosistem kenderaan elektrik (EV) dengan menguasai 10 peratus jumlah pasaran. Untuk mencapai sasaran itu, GENTARI perlu menyediakan anggaran 25,000 kemudahan pengecasan awam di pasaran-pasaran utama Asia Pasifik menjelang 2030.

Manakala bagi sasaran pertengahan menjelang tahun 2026, sekitar 9,000 kemudahan pengecasan awam disediakan terutamanya di Malaysia dan India.

“Pada masa ini, GENTARI telah memasang lebih 190 kemudahan pengecasan dan menyampaikan lebih 250 kenderaan elektrik dua dan tiga roda di India dan Malaysia. Menerusi penawaran VaaS di India, GENTARI telah mencapai 1,000,000 kilometer bersih, iaitu bersamaan dengan pengurangan pelepasan CO2 sebanyak 83.4 tan,” jelasnya.

Tambahnya, dalam menyokong usaha penyahkarbonan kumpulan Petronas berasaskan pendekatan bersepadu, GENTARI baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Petronas Refinery and Petrochemical Corporation Sdn. Bhd. untuk bekerjasama memperkenalkan barisan kenderaan pelepasan sifar yang disokong oleh kemudahan pengecasan EV, dan meneroka potensi kenderaan sel tenaga hidrogen di Kompleks Bersepadu Pengerang, salah satu fasiliti petrokimia bersepadu terbesar di rantau ini.

“Setakat ini, pemasangan panel solar bumbung 4 MWp telah disempurnakan manakala kerja-kerja pemasangan panel solar atas tanah sebesar 40 MWp di Pengerang sedang dijalankan,” jelas GENTARI. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×