PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melantik Firdaos Rosli sebagai Ketua Ahli Ekonomi baharu bermula 1 September lalu menggantikan Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid.
Menurut Bank Islam, Firdaos pernah berkhidmat sebagai Ketua Ahli Ekonomi di MARC Ratings Berhad.
Sebelum berkhidmat dengan organisasi tersebut, beliau berkhidmat hampir 10 tahun dalam pelbagai kapasiti di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, sebuah organisasi penyelidikan, bermula daripada Penganalisis Kanan (Ekonomi) ke Pengarah Ekonomi, Perdagangan dan Integrasi Serantau.
Di awal kerjayanya, beliau juga pernah bertugas selama enam tahun di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada bekas Ketua Ahli Ekonomi, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid atas sumbangan yang sangat bermakna kepada kemajuan Bank Islam sepanjang sembilan tahun bersama.
“Kumpulan amat berbesar hati mengalu-alukan Firdaos sebagai Ketua Ahli Ekonomi baharu.
“Bersandarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman luas beliau, kami mengharapkan sumbangan beliau ke arah pertumbuhan dan pengukuhan profil kami dalam kalangan institusi pemikir dan penggubal dasar,” katanya dalam kenyataan.
Firdaos berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan (Perakaunan dan Kewangan) dari Universiti Lancaster, United Kingdom (UK).
Beliau juga berkelulusan Sarjana dalam bidang Polisi Awam dari The London School of Economics and Political Science (LSE) UK, sebagai pemegang biasiswa Chevening. – UTUSAN







