WASHINGTON: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas, kenaikan ketiga pada tahun ini sejak Jun lalu, dalam usaha mengekang peningkatan inflasi.
Keputusan tersebut sememangnya sudah dijangkakan oleh pasaran, yang mengunjurkan kadar faedah akan dinaikkan sehingga 4 peratus menjelang akhir tahun ini.
Kenaikan terbaharu itu menjadikan penanda aras kadar pinjaman di AS meningkat antara 3 hingga 3.25 peratus dengan penganalisis menjangkakan Fed akan membuat satu lagi kenaikan sebanyak 75 mata asas dalam mesyuaratnya akan datang, lapor Reuters.
“Jawatankuasa (dasar monetari) amat komited untuk mengembalikan inflasi kepada kadar objektif sebanyak 2 peratus,” kata Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan dalam kenyataan selepas tamat bermesyuarat selama dua hari, kelmarin.
Kadar dasar sasaran Fed kini berada pada paras tertinggi sejak 2008 dan unjuran baharu menunjukkan ia meningkat kepada julat 4.25 hingga 4.50 peratus menjelang akhir tahun ini, dan akhir 2023 pada 4.50 hingga 4.75 peratus.
Pengerusi Fed. Jerome Powell berkata, kenaikan kadar faedah itu menunjukkan Fed “mempunyai tekad yang kuat” untuk menurunkan inflasi daripada paras tertinggi dalam tempoh empat dekad.
“Kita perlu meletakkan inflasi di belakang kita. Saya berharap ada cara yang tidak menyakitkan untuk melakukannya. Bagaimanapun tidak ada,” kata beliau kepada pihak media.
Fed berkata, “petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan sederhana dalam perbelanjaan dan pengeluaran.”
Bagaimanapun, unjuran baharu itu meletakkan pertumbuhan ekonomi akhir 2022 pada 0.2 peratus, sebelum meningkat kepada 1.2 peratus pada 2023, namun masih jauh di bawah potensi ekonomi sebenar.
Kadar pengangguran pada masa ini ialah 3.7 peratus, dan diunjurkan meningkat kepada 3.8 peratus, seterusnya 4.4 peratus pada 2023. Kenaikan itu melebihi kenaikan separuh mata peratus dalam pengangguran yang telah dikaitkan dengan kemelesetan pada masa lalu.
“Fed lambat untuk mengiktiraf inflasi, lewat untuk mula menaikkan kadar faedah, dan lewat untuk memulakan pembelian bon. Mereka bermain kejar-kejar sejak dari awal. Dan mereka belum lagi selesai,” kata ketua penganalisis kewangan di Bankrate, Greg McBride.
Kenaikan kadar faedah itu menerima reaksi negatif pasaran apabila bursa saham AS S&P 500 dan indeks SPX susut sekitar 1.8 peratus. Bagaimanapun, ia memberi kesan positif ke atas dolar yang terus mengukuh sekitar 1 peratus berbanding sekumpulan mata wang utama lain, paras tertinggi dalam lebih dua dekad. – AGENSI










