PETALING JAYA: Etika Group (Etika) dan syarikat Jepun, Hiroyuki Industries (M) Sdn. Bhd. bekerjasama melancarkan kempen ‘Lets Rescue PET Bottles’ sempena program Kempen Kepenggunaan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Pelancaran kempen di MyTOWN Kuala Lumpur itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, baru-baru ini.
Kempen akan berlangsung selama setahun sehingga Ogos 2023, untuk mewujudkan persekitaran yang lebih baik dan sihat dengan mengumpul serta mengitar semula botol PET, bagi memberi nafas baharu kepada bahan boleh dikitar semula.
Mengulas inisiatif itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etika (Malaysia, Singapura dan Brunei), Santharuban Thurai Sundaram berkata, syarikat mengutamakan kelestarian dan berusaha untuk menyediakan kualiti hidup yang lebih baik demi generasi sekarang dan akan datang.
“Oleh kerana Etika dan Hiroyuki berkongsi matlamat pembangunan mampan yang sama, kami yakin bahawa kerjasama ini akan meletakkan asas yang kukuh dalam memelihara alam sekitar.
“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat mengurangkan penggunaan minyak mentah, gas asli, pelepasan karbon dioksida, serta mengalihkan sisa plastik daripada alam sekitar dan mewujudkan ekonomi kitaran yang mampan,” katanya.
Untuk terus menggalakkan aktiviti kitar semula dan memberi impak positif kepada alam semula jadi, Etika dan Hiroyuki bekerjasama dengan 270 sekolah di Lembah Klang untuk menyertai pertandingan yang menarik.
Selain mengumpul botol bersih sebanyak mungkin, pelajar sekolah yang mengambil bahagian juga dikehendaki menyerahkan poster digital bertemakan PET Bottle Recycle dan E-Book yang menerangkan kepentingan menjaga alam sekitar.
Sekolah yang mengambil bahagian juga akan menerima RM0.50 sekilogram untuk botol PET yang dikumpulkan pada setiap bulan.
Tiga sekolah dengan koleksi botol PET terbanyak akan menerima hadiah RM5,000 untuk pemenang pertama, RM3,000 (kedua) dan RM2,00 (ketiga).
Selain itu, lima sekolah terbaik juga berpeluang melawat kilang Hiroyuki Industries di Johor Bahru untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai nilai kitar semula dan pengurusan sisa sambil mendapat pengalaman secara langsung tentang bagaimana syarikat itu mengeluarkan produknya. Pemenang-pemenang akan diumumkan pada September 2023. – UTUSAN










