PETALING JAYA: Pengeluar alat ganti automotif EP Manufacturing Berhad (EPMB) telah mendapat kelulusan daripada kerajaan untuk mendaftar dan melesenkan kenderaan elektrik dua roda (EV) pertamanya, Blueshark.
Menurut syarikat itu, kebenaran tersebut diperoleh kira-kira sebulan selepas ia menerima Kelulusan Bersyarat daripada kerajaan untuk pembinaan kilang pembuatan sulungnya bagi pengeluaran kenderaan dua roda elektrik.
Jelasnya, Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) dan Homologasi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah meluluskan VTA untuk model Blueshark SG3000DT pada 30 Ogos lalu, dirujuk sebagai “Blueshark R1” di bawah Akta Pengangkutan Jalan Malaysia 1987.
“Sijil untuk VTA telah dikeluarkan kepada EP Blueshark Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh EPMB. Kelulusan VTA membenarkan motosikal elektrik EPMB “Blueshark R1″ didaftarkan dan dilesenkan oleh JPJ. Usaha ini akan membuka lembaran baharu kepada EPMB untuk
mempelbagaikan pelengkap kepada perniagaannya sekarang,” jelasnya dalam kenyataan.
Mengulas perkembangan itu, Pengerusi Eksekutif EP Manufacturing Berhad, Hamidon Abdullah berkata, dengan Kelulusan VTA, syarikat selangkah lebih dekat untuk meraih unjuran lonjakan permintaan untuk EV dua roda di Malaysia.
Jelasnya, pada masa yang sama, rakan kongsi EPMB di ASEAN lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam juga telah memohon VTA bersamaan untuk Blueshark R1 di negara masing-masing, dan ia akan melengkapkan aktiviti-aktiviti pembuatan EPMB.
“Penerokaan kami ke dalam perniagaan EV dua roda disokong dengan baik oleh pengetahuan teknikal Sharkgulf Technologies Group Limited yang berpangkalan di China.
“Ini bersempena dengan asas pendanaan yang kukuh daripada pelabur antarabangsa yang menumpukan pada ESG. Ini sepatutnya meletakkan kita pada laluan pertumbuhan yang mampan untuk bergerak ke hadapan,” katanya.
Pada 25 Julai 2022, EP Blueshark menerima Kelulusan Bersyarat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas permohonannya untuk memasang motosikal elektrik di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 [Akta 156]. Ia tertakluk
kepada syarat yang perlu dipenuhi oleh EP Blueshark dalam tempoh enam (6) bulan dari Surat Kelulusan.
“Dengan Kelulusan Bersyarat, EP Blueshark berada dalam landasan untuk membina Loji Pembuatan dan Pusat Jualan serta Pengedaran bagi memasang, mengeluarkan dan mengedarkan EV 2 roda berjenama Blueshark di Malaysia,” jelas syarikat itu. – UTUSAN










