PETALING JAYA: Pengisytiharan pembayaran dividen Petronas yang lebih tinggi sebanyak RM50 bilion, dua kali ganda berbanding tahun lalu, menjadi petanda Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan tidak lama lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, dividen yang lebih tinggi tersebut boleh digunakan kerajaan untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih baik sebelum PRU diadakan.
Katanya, ia termasuk mengawal peningkatan defisit fiskal dengan pemberian subsidi daripada kerajaan untuk mengimbangi peningkatan inflasi global ketika ini.
“Mana-mana kerajaan di dunia pasti akan mewujudkan persekitaran ekonomi yang baik apabila mahu mengadakan PRU. Subsidi pasti akan membuat rakyat gembira terutamanya dengan peningkatan inflasi makanan global.
“Pemberian insentif kepada penjawat awam dan dividen Petronas lebih tinggi yang akan membantu subsidi kerajaan adalah petanda PRU makin dekat. Saya jangkakan mungkin PRU akan diadakan dalam tahun ini juga,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, Petronas mencatatkan prestasi cemerlang apabila meraih untung bersih berjumlah RM23 bilion pada suku kedua (S2) berakhir 30 Jun 2022, melonjak 140 peratus berbanding hanya RM9.6 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Sejajar dengan perkembangan itu, syarikat mengisytiharkan dividen RM50 bilion, dua kali ganda pembayaran berbanding tahun lepas.
Sementara itu, Kim Leng berkata, prestasi kewangan yang memberangsang oleh Petronas dijangka akan berterusan pada suku akan datang susulan perang antara Russia dan Ukraine dijangka terus berlarutan sehingga tahun depan.
“Selagi peperangan ini berlarutan, kita boleh jangkakan harga minyak akan terus tinggi dan Petronas akan menerima manfaat daripada kenaikan harga ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, prestasi Petronas yang mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan sememangnya dijangkakan berdasarkan pergerakan harga minyak dan gas dunia.
“Sememangnya dividen kepada kerajaan dalam erti kata lain bahagian yang harus dibayar atau dikongsi dengan perbendaharaan negara juga dijangka naik.
“Tetapi, ia seharusnya digunakan secara berhemah oleh pembuat polisi dan bukan sebagai ‘gula-gula’ untuk mencari sokongan atau undi bagi mengekalkan kuasa,” ujarnya. – UTUSAN










