PETALING JAYA: Cagamas Berhad (Cagamas), memuktamadkan terbitan sukuk dan bon dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.63 bilion untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Perbadanan gadai janji nasional tersebut berkata, terbitan tersebut melibatkan Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN) satu tahun bernilai RM560 juta dan Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) satu tahun bernilai RM30 juta.
Katanya, turut diterbitkan adalah CMTN dua tahun bernilai RM40 juta, CMTN tiga tahun bernilai RM30 juta dan agregat SG$300 juta Nota Jangka Sederhana Kadar Tetap Euro (EMTN) satu tahun.
“Hasil daripada terbitan tersebut akan digunakan untuk membiayai pembelian pinjaman perumahan dan pembiayaan rumah daripada sistem kewangan,” katanya dalam kenyataan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong berkata, Cagamas berjaya memuktamadkan penerbitan bon dan sukuk tersebut walaupun dalam senario tindakan bank-bank pusat utama memperketat dasar monetari serta Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah yang ketara.
“Permintaan bon mata wang asing Cagamas kekal berdaya tahan dalam ketidaktentuan pasaran dan dilanggan sepenuhnya oleh pelabur asing, termasuk pengurus aset, institusi kewangan dan syarikat insurans.
“Terbitan dolar Singapura juga menandakan pelaksanaan terbitan mata wang asing ketiga dan keempat syarikat untuk tahun ini dan menjadikan terbitan dalam denominasi dolar Singapura tahun sehingga kini kepada SG$550 juta,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga berjaya mengumpulkan sebanyak RM660 juta daripada pasaran domestik menerusi penetapan harga CMTN/IMTN pada 37 mata asas kepada 46 mata asas dan melepasi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)/ Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) yang sepadan.
“Pemuktamadan transaksi tersebut menjadikan jumlah terbitan Cagamas setakat tahun ini kepada RM12.70 bilion.
“Terbitan bon dalam denominasi dolar Singapura dan terbitan CMTN/IMTN tersebut akan dijamin penuh serta tanpa syarat oleh Cagamas,” ujarnya.
Menurutnya, terbitan tersebut ditebus pada nilai nominal penuh apabila matang dan ia juga adalah obligasi tidak bercagar syarikat, pada kedudukan pari passu dengan semua obligasi tidak bercagar syarikat yang sedia ada. – UTUSAN










