PETALING JAYA: BlackBixon2Go Sdn. Bhd. (BB2GO), anak syarikat Ni Hsin Group Berhad, melancarkan BlackBixon Café & Restaurant pertamanya terletak di Jalan Inai, Kuala Lumpur.
Kafe dengan keluasan keseluruhan 5,993 kaki persegi terletak di rumah banglo tiga tingkat, boleh memuatkan sehingga 200 pelanggan.
Pelancaran dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.
Pengarah Urusan BB2GO, Khoo Chee Kong berkata, berikutan perancangan bertahun-tahun, BlackBixon Café & Restaurant adalah kemuncak impian yang bermula dengan pengedaran minuman kopi yang sihat – varian tenaga, pemakanan dan asli – di bawah konsep kami café@home @office @anywhere.
“Tidak berpuas hati dengan memberikan kemudahan kepada pelanggan kami untuk membancuh kopi mereka sendiri, kami mengambil langkah lebih jauh untuk menghidangkan kopi panas segar kepada mereka di lokasi yang sesuai di sekitar bandar.
“Di situlah penunggang motosikal barista BB2GO kami bersinar, menyajikan kopi daripada BB Coffee Bikes kami, iaitu motosikal elektrik (EV Bikes) yang kuasa baterinya juga digunakan untuk mengendalikan mesin kopi.
“Ini menjadikan EV Bikes kami sebagai motorsikal kopi mudah alih serba lengkap yang hijau dan mampan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Kata beliau, BB2Go juga mengambil peluang untuk memperkenalkan Dewan Kemasyhuran Sukan BlackBixon di mana syarikat memberi penghormatan kepada ikon sukan Malaysia atas pencapaian dan sumbangan cemerlang mereka kepada negara.
“Bersempena dengan Pembukaan Besar BlackBixon Café & Restaurant, kami juga memasukkan beberapa ikon sukan hebat kami ke dalam Dewan Kemasyhuran Sukan BlackBixon kami. Mereka adalah Datuk Santokh Singh, Datuk Minarwan Nawawi, Karamjit Singh, M. Kumaresan, Muhammad Roslin Hashim dan Muhammad Hafiz Hashim,” katanya. – UTUSAN









