Bajet 2023: Beri pengecualian cukai pasang solar panel

Bajet 2023: Beri pengecualian cukai pasang solar panel

solar
GUNTOR TOBENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan diminta memberikan pengecualian cukai peribadi untuk pemasangan panel solar dalam Bajet 2023 yang akan dibentang awal bulan depan bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) di negara ini.

Naib Presiden Persatuan Industri Fotovoltaik Malaysia (MPIA), Datuk Dr. Guntor Tobeng berkata, ia termasuk pengurangan cukai peribadi sebanyak RM50,000 dalam tempoh lima tahun untuk pemasangan solar panel selain pengecualian SST dan duti import untuk perniagaan berkaitan panel solar dan sistem bateri simpanan kuasa.

“Sempena dengan pembentangan belanjawan atau Bajet 2023 bulan depan, MPIA telah mengemukakan cadangan melalui satu memorandum khas kepada Kementerian Kewangan.

“Kami berharap pihak kerajaan akan mempertimbangkan cadangan ini yang mana kami percaya ia akan menjadi pemangkin kepada penggunaan tenaga boleh baharu sesuaian dengan misi dan sasaran kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis MPIA Solar Roadshow di sini, yang dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Guntor berkata, insentif cukai seperti itu akan menggalakkan lebih ramai individu dan syarikat beralih kepada TBB yang mana ia akan membantu mereka menjimatkan kos operasi jika berlaku kenaikan tarif elektrik.

“Ini bagi melindungi perniagaan mereka daripada terjejas apabila berlaku kenaikan tarif. Jika tarif elektrik tidak berubah sekali pun penggunaan solar akan dapat menjimatkan kos operasi perniagaan,” katanya.

Menurut beliau, permintaan untuk tenaga bersih di negara ini telah berkembang pesat berdasarkan kepada permintaan untuk pemasangan panel solar yang tinggi.

Lagi pula katanya, penggunaan panel solar ketika ini jauh lebih mudah berbanding dahulu, selain mereka yang terlibat menyediakan perkhidmatan itu komited memastikan industri dan orang awam mempunyai akses kepada khidmat lengkap daripada kepakaran yang terlatih dalam mengendalikan teknologi dalam industri solar yang pesat berkembang.

Guntor berkata, sebagai sebuah persatuan yang dianggotai oleh hampir semua pemain utama dalam industri fotovoltaik negara, MPIA menyambut baik usaha kerajaan melancarkan Dasar Tenaga Negara (DTN) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Katanya, MPIA berharap dapat memberi sumbangan ke arah merealisasikan sasaran kerajaan untuk mencapai aspirasi Negara Sifar Karbon menjelang 2050.

“Kami merasakan Roadshow MPIA ini adalah landasan terbaik untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai TBB terutama yang berasaskan solar dan bagaimana penggunaannya boleh membantu negara mengurangkan pelepasan karbon yang menjejaskan alam sekitar.

“Kami juga menyanjung tinggi komitmen kerajaan terhadap penggunaan TBB. Sebelum melancarkan DTN, kerajaan telah memperkenalkan program Pemeteran Tenaga Bersih atau NEM.

“Program NEM ini membolehkan lebihan elektrik yang dijana daripada PV solar yang dipasang atas bumbung dieksport ke grid, sebagai pertukaran untuk kredit yang boleh digunakan untuk mengimbangi bil elektrik Tenaga Nasional.

“Program NEM setakat ini telah menunjukkan kejayaan selari dengan permintaan terhadap tenaga bersih,” katanya.

Pada majlis itu MPIA turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) bagi mewujudkan hab latihan dan pensijilan PV solar profesional nasional.

Melalui MOU itu, SHRDC akan memperkemas dan memperkukuhkan sukatan pelajaran dan latihan untuk memenuhi keperluan dalam teknologi PV solar global melalui dialog dan rundingan bersama ahli-ahli MPIA.

Manfaat yang diterima oleh MPIA melalui MoU itu pula ialah mereka berpeluang menikmati kadar bayaran berpatutan apabila menyertai latihan di samping menerima pensijilan yang relevan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN