PETALING JAYA: Airbnb melaporkan peningkatan tempahan dan carian penginapan di kawasan luar bandar pada suku kedua sejajar dengan lonjakan semula dalam pelancongan.
Airbnb dalam kenyataan berkata, data terbaharu menunjukkan Ipoh, Kuah, Semenyih dan Port Dickson menjadi destinasi carian yang tinggi untuk penginapan jangka panjang (lebih dari 28 hari) selain hab metropolitan yang lain di negara ini.
Katanya, peningkatan tempahan di kawasan luar bandar meningkat di seluruh Asia Pasifik dan bagi Malaysia, carian bagi Marang, Terengganu meningkat hampir dua kali ganda pada suku kedua tahun ini berbanding suku sama 2019 iaitu sebelum pandemik.
Tambahnya, perkembangan tersebut telah membawa kepada peluang baharu kepada penduduk tempatan yang ingin menambah pendapatan ketika mereka berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.
“Pendapatan biasa untuk hos bukan bandar di Malaysia telah meningkat kira-kira satu pertiga dan kaji selidik ClearPath Strategies daripada Airbnb terhadap rakyat Malaysia baru-baru ini mendapati, lebih dua pertiga daripada responden bersetuju menjadi hos mewujudkan rangsangan ekonomi di kawasan kejiranan.
“Sebanyak 62 peratus juga percaya bahawa ia bukan sahaja memacu manfaat untuk hos tetapi juga perniagaan dalam komuniti,” katanya.
Ketua Dasar Awam Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan Airbnb, Mich Goh berkata, lebih dari dua tahun sejak pandemik, syarikat terus melihat perubahan asas dalam perjalanan yang mewujudkan peluang baharu untuk komuniti.
Katanya, mereka gembira apabila melihat pengembara begitu bersemangat untuk menerokai destinasi baharu, serta impak ekonomi positif yang mengalir kepada penduduk tempatan.
“Peningkatan perjalanan yang berterusan ini memperkasakan penduduk tempatan untuk mempelbagaikan pendapatan mereka melalui hos dan membina daya tahan kewangan dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
“Kami komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan lain untuk terus memberi inspirasi kepada pelancong untuk menerokai kawasan terpencil dan membantu memastikan lebih ramai komuniti boleh berkongsi manfaat pelancongan,” ujarnya. – UTUSAN









