AirAsia dinobat syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka Asia - Utusan Malaysia

AirAsia dinobat syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka Asia

. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia dinobatkan sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka Asia untuk tahun keenam berturut-turut dan kru kabin syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka Asia untuk tahun ketujuh berturut-turut di World Travel Awards ke-29 tahun ini.

AirAsia muncul pemenang dalam dua kategori itu berikutan undian daripada para pemain industri, pengguna, media dan pakar pelancongan profesional dari seluruh rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata, kumpulan telah melalui beberapa tahun yang amat mencabar dan anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk terus maju ke hadapan. 

“Para kakitangan dan tetamu adalah keutamaan kami, dan kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka untuk pengiktirafan ini.

“Usaha serta dedikasi berterusan kami untuk menjadi yang terbaik dan untuk kembali dengan lebih kuat telah membuahkan hasil dan kami bersedia untuk kembali terbang tinggi. 

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak World Travel Awards, para tetamu, rakan kongsi industri dan pihak berkepentingan atas sokongan dan pengiktirafan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan berkata, pengiktirafan itu amat bermakna buat pasukan kru kabin AirAsia yang telah bekerja keras untuk mengekalkan perkhidmatan dengan standard tertinggi dan memastikan para tetamu dapat menikmati pengalaman penerbangan yang selamat dan lancar. 

“Segala cabaran yang telah kami lalui berikutan pandemik tidak mungkin dapat diatasi tanpa pasukan kami. Pengiktirafan ini akan mengukuhkan lagi nilai yang diterapkan dalam kalangan Allstars (kakitangan AirAsia) iaitu untuk sentiasa mengutamakan tetamu kami,” ujarnya.

AirAsia juga telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Dengan Tambang Berpatutan di World Business Outlook Awards 2022 dan juga sebagai Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Malaysia di International Business Magazine Awards 2022.

Ditubuhkan pada 1993, World Travel Awards salah satu program anugerah paling berprestij di dalam industri pelancongan global yang mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan di seluruh sektor utama industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN