
DANAU TOBA, INDONESIA: AirAsia Indonesia di bawah Capital A Bhd. mengembangkan rangkaian domestik dan pelancongan di negara ini dengan melancarkan laluan Jakarta-Silangit, di sini semalam.
Penerbangan sulung yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta (CGK) pada pukul 11.50 pagi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Silangit (DTB) pada pukul 1.50 tengah hari.
Penerbangan turut dinaiki oleh Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, kakitangan AirAsia dan wakil media.
Penerbangan itu juga menandakan permulaan kukuh antara AirAsia Indonesia, syarikat induknya Capital A serta pihak berkepentingan kerajaan, sektor pelancongan dan industri utama untuk meningkatkan pelancong dan menjadikan Danau Toba sebagai tarikan pelancongan utama di peringkat global.
Untuk menandakan komitmennya terhadap pembangunan ekonomi wilayah dan pemerkasaan komuniti, AirAsia Indonesia juga melancarkan slogan baharunya “Terbang Lagi Indonesia.”
Tony berkata, Danau Toba merupakan antara destinasi utama Indonesia dan juga sebahagian daripada Geopark UNESCO mempunyai banyak potensi menarik untuk ditawarkan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Ujarnya, jenama AirAsia menekankan kebolehcapaian, keterjangkauan, keterangkuman dan menawarkan perkhidmatan kepada semua golongan, termasuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyesuaikan diri dengan era digital baharu.
“Indonesia adalah satu daripada destinasi kami yang paling popular dan Indonesia bukan sekadar Bali kerana banyak lagi destinasi pelancongan yang menakjubkan. Justeru, kami berbesar hati kerana dapat memainkan peranan untuk mempromosikan dan menyokong destinasi yang luar biasa ini.
“Tambang bernilai hebat juga merangsang perjalanan udara ke semua destinasi kami dan kami berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkepentingan utama untuk memastikan Danau Toba menjadi lokasi keutamaan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Perasmian penerbangan AirAsia Indonesia Jakarta-Silangit turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Veranita Yosephine Sinaga.
Untuk peringkat awal, AirAsia akan mengendalikan penerbangan Jakarta-Silangit sebanyak tiga kali seminggu iaitu setiap Selasa, Khamis dan Sabtu menggunakan pesawat Airbus A320 berkapasiti 180 penumpang dengan elaun bagasi percuma 20 kilogram (kg) dan elaun bagasi kabin sebanyak 7kg.
Perkhidmatan akan ditambah mengikut permintaan. Tiket penerbangan bagi laluan Jakarta-Silangit kini boleh ditempah melalui airasia Super App, airasia.com, ejen pelancongan dalam talian dan ejen jualan tiket rasmi lain. – UTUSAN










