
PASARAN skuter tanah air semakin menjadi besar dan menjadi ikutan sejak akhir-akhir ini.
Skuter bukan sesuatu yang baharu dalam industri dua roda tanah air, malah sejak kemunculan skuter Vespa atau Lambretta pada 60an dulu, skuter telah beberapa kali menarik golongan muda dalam pelbagai evolusi dan versi pada ketika itu.
Begitupun, skuter 150cc seperti tidak dapat memenuhi ‘nafsu’ peminat-peminat skuter dan mereka menginginkan skuter yang lebih ‘besar’, berkapasiti lebih tinggi tanpa mengorbankan keselesaan menunggang. Maka hadirlah Yamaha X-Max 250.
PENGENALAN
Yamaha X-Max secara kasarnya adalah satu evolusi daripada model skuter ‘kayangan’ Yamaha iaitu T-Max 560. T-Max boleh dianggap sebagai skuter superbike bukan sahaja kerana kapasiti enjinnya yang besar, malah mempunyai kebolehan elektronik seperti cruise control, ABS dan TCS.
Namun, sudah tentu model seumpama ini datang dengan harga yang agak tinggi. Yamaha sedar akan hal ini dan ingin memberikan peminatnya sesuatu yang berada dipertengahan antara N-Max dan T-Max. Maka lahirlah model X-Max.
X-Max adalah skuter berkapasiti 250cc di pasaran tempatan. Namun, model ini dijual secara meluas pada kapasiti 300cc di negara-negara Barat, (juga Indonesia dan Thailand).
Memandangkan kekangan lesen motosikal di negara kita, X-Max 250cc dilihat sebagai pilihan terbaik. X-Max sememangnya bersaiz fizikal agak besar, berbanding kebanyakan skuter atas jalan raya ketika diperkenalkan pada 2018. Tergolong dalam kategori maxi-scooter, walaupun hanya 250cc tetapi saiznya yang besar menyebabkan ia tergolong dalam skuter jenis ini. Jika ingin diperkatakan tentang saiz penyimpanan barangan di bawah pelananya, kebolehan untuk menyimpan dua helmet penuh muka (full face helmet) dirasakan antara ruang penyimpan barangan terbesar saiznya dalam pasaran skuter tempatan.
Meminjam rupa fizikal T-Max 560, ia dilihat sebagai skuter paling eksklusif yang telah mendarat dalam negara. Kalau Yamaha NVX adalah skuter sporty untuk anak-anak muda, X-Max dipasarkan keseluruh pasaran Asia Tenggara, ditumpukan kepada para eksekutif yang mahukan transport untuk pergi dan balik kerja dengan mudah dan selesa terutamanya mencelah di tengah-tengah kesibukan metropolitan.
PENUNGGANGAN
Seperti dalam brosurnya, X-Max sememangnya sangat sesuai digunakan untuk tunggangan harian dan meluncur dengan mudah di kota raya. Begitupun, X-Max banyak digunakan oleh penggunanya sebagai motosikal untuk berkonvoi dan kembara jarak jauh. Hampir keseluruhan pemilik X-Max adalah daripada golongan dewasa dan berpendapatan agak baik, dan ini memperlihatkan aktiviti-aktiviti konvoi banyak dilakukan oleh kelab-kelab pemilik X-Max dalam negara.
Jualan aksesori-aksesori juga dilihat agak meluas kerana kemampuan kumpulan pemilik-pemilik X-Max ini.
Penunggangan pada jarak jauh pula, memerlukan tiga perkara utama yang menjadi perhatian mana-mana bikers iaitu perlindungan angin, keselesaan pelana dan prestasi enjin. X-Max dilihat telah mencapai ketiga-tiga kriteria utama tersebut dalam versi standard keluaran kilangnya. Skrin pelindung angin hadapan X-Max, didatangkan dengan skrin yang agak tinggi dan boleh dilaras ketinggiannya pada dua tahap, namun ia harus dibuat secara manual. Tiada sistem elektronik pelarasan ketinggian skrin semenjak diperkenalkan empat tahun lalu.
Pelananya luas, sama ada untuk penunggang atau pemboncengnya, empuk dan boleh ‘tahan’ sehingga penunggangan lebih dari satu jam. Namun, rata-rata pemilik dan peminat X-Max tahu akan kewujudan pelana versi comfort atau euro seat yang dikeluarkan oleh Yamaha Europe. Pelana tersebut banyak ditempah oleh pemilik X-Max walaupun sedar harganya mencecah lebih RM1,000!
Prestasi enjinnya pula, 250cc 4 lejang, SOHC dengan 4 injap, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 6.8 kW pada kadar 7,000 rpm dan kuasa tork sekitar 24.3 Nm pada kadar 5,500 rpm. Malangnya, pengenalan pertama saya kepada jentera X-Max ini ialah versi 300cc, dan apabila menunggang uji versi pasaran Malaysia (250cc), merasakan seperti prestasi enjinnya agak lemah. Namun, apabila menunggang jentera ini lebih lama, prestasi standard kilangnya sebenarnya agak memadai untuk penunggangan harian.

Dari segi kuasa tujahan atau pick-up, ujian yang saya lakukan ketika berseorangan atau pun bersama pembonceng, boleh dikatakan agak baik. Faktor ini diperoleh ketika pemotongan kenderaan-kenderaan di jalan raya persekutuan. Kebolehan ini walau bagaimanapun boleh ‘ditambah’ dengan beberapa aksesori tambahan yang banyak dijual dalam pasaran selepas jualan. Roller, mangkuk klac, spring torsi mahupun blok/piston yang lebih besar adalah dalam jangkauan mudah mana-mana bengkel di seluruh negara atau belian dalam talian yang sememangnya menjadi kebiasaan pada masa kini.
Dari segi prestasi kelajuan tertinggi yang mampu dicapai oleh X-Max, jarum meter menunjukkan kelajuan maksimum yang mampu saya capai adalah 140km/j (meter menunjukkan sehingga ke 160km/j). Jika para pemilik X-Max ingin melihat jarum penunjuk meter tersebut ‘lentok’ sehingga ke tahap maksimum, silalah melawat mana-mana penjual set penambah kapasiti enjin sehingga ke 300cc.
Kembali pada prestasi penunggangan X-Max, dengan kebolehan enjin standardnya, ia dipadankan dengan kebolehan pemberhentian daripada sistem brek hidrolik lengkap dengan ABS yang didatangkan secara standard. Terdapat juga TCS atau traction control system yang membolehkan kuasa penghantaran dihentikan pada roda belakang apabila sensor mengesan terdapat gelinciran pada roda belakang. Ciri-ciri keselamatan ini ternyata antara tarikan utama buat pasaran untuk memiliki jentera ini.
Sebagai seorang penunggang uji, kita harus jujur terhadap hasil ujian yang dilakukan. Maka X-Max ini terpaksa dilaporkan mempunyai dua kelemahan ketara. Pertama, sistem suspensi belakang yang agak keras dan dirasakan gagal menyerap hentakan-hentakan daripada permukaan jalan raya tidak rata. Begitu juga dengan suspensi hadapannya, yang juga turut menyumbang ketidakstabilan pengendalian apabila terpaksa melalui permukaan jalan raya yang berbonggol-bonggol. Malah, saya hampir kemalangan apabila melalui selekoh yang “dengan bijaknya” dipasang garisan-garisan timbul merah yang semakin dalam selekoh, semakin rapat garisan-garisan timbul ini. Selain menyebabkan kurangnya permukaan tayar yang mampu mencengkam permukaan akibat “kebijakkan” para jurutera jalan raya/lebuh raya memasang jaluran-jaluran merah (dan kuning) yang begitu tebal dan timbul ini, spring suspensi dirasakan kurang memberi daya serapan yang baik dan menyebabkan gangguan pada
pengendalian dan boleh menyebabkan kemalangan.
Seperkara lagi yang harus saya ketengahkan di sini ialah prestasi tayar dibekalkan. Saiz 15 inci di hadapan dan 14 inci untuk tayar belakang daripada Dunlop ini pada awalnya saya rasakan agak baik untuk tunggangan harian dan sekali-sekala mengambil selekoh-selekoh tajam dalam cuaca panas biasa. Namun, saya agak terkejut dengan prestasi buruknya ketika melalui jalan-jalan basah atau penunggangan ketika hujan. Ternyata tayar Dunlop yang dibekalkan ini tidak berjaya untuk mencengkam permukaan jalan raya basah terutama apabila anda melalui garisan/anak panah putih atas jalan raya. Mujur sistem TCS banyak membantu menstabilkan pengendalian ketika terdapat beberapa kegelinciran yang berlaku ketika tunggangan turun bukit sewaktu hari hujan.

KESIMPULAN
Yamaha X-Max 250, secara keseluruhannya adalah sebuah motosikal berprestasi tinggi, sama ada dari segi keselesaan penunggangan, prestasi enjin dan pengendaliannya. Namun sistem suspensi HARUS diambil perhatian oleh Yamaha kerana, sejak kemunculannya pada 2018 dahulu, keadaan ini tidak berubah pada model terbaharu 2022. Sepatutnya Yamaha lebih peka dan sensitif pada keadaan ini kerana pakej yang disertakan dengan pembelian X-Max sungguh menarik dengan harga jualan yang sangat kompetitif iaitu hampir RM22,000.
Walau bagaimanapun, akibat populariti X-Max ini, suspensi di pasaran luar sangat banyak yang dijual dan anda hanya perlu menyediakan duit untuk memilih mana-mana jenama yang terdapat di pasaran, sama ada “sang emas” dari Sweden ataupun jenama hebat dari Thailand. Hanya dengan menukar sistem suspensi dan tayar yang lebih mencengkam, penunggangan skuter maxi X-Max dirasakan cukup sempurna.
Cuma masalah sekarang, akibat kepayahan bekalan bahan mentah yang dialami oleh pasaran automotif secara global, pembeli X-Max terpaksa menunggu berbulan-bulan lamanya untuk mendapatkannya. Nasib, saya dah dapat X-Max saya…. – UTUSAN










