Vortex perkenal pembiayaan rumah Bravo Financing

Vortex perkenal pembiayaan rumah Bravo Financing

DARI kiri: Pengarah Eksekutif Vortex, Choo Peng Hung: Pengerusi, Tan Ooi Jin dan See Toh Kean Yaw melihat buku laporan tahunan syarikat pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Luar Biasa di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Vortex Consolidated Berhad (Vortex) melancarkan Bravo Financing iaitu penyelesaian pembiayaan rumah pertama seumpamanya khusus untuk semua projek hartanah Kumpulan yang sedang berjalan dan akan datang.

Menurut Vortex, Bravo Financing ialah pinjaman berjangka untuk hartanah, yang mana ia menawarkan pembiayaan sehingga 100 peratus dengan tempoh sehingga 15 tahun dan peningkatan faedah tahunan sebanyak 4 peratus dan seterusnya.

Jelasnya, permohonan akan diproses dalam masa 24 jam dan tiada dokumentasi diperlukan kecuali kad pengenalan pemohon, tertakluk kepada terma dan syarat.

“Pinjaman berjangka hanya terpakai untuk hartanah di bawah Vortex. Pembiayaan pinjaman kepada pembeli itu akan dilaksanakan melalui anak syarikat pinjaman wang berlesen kumpulan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, melalui anak syarikat milik penuhnya, Paris Dynasty Land Sdn. Bhd., Vortex sedang membangunkan projek kediaman dan komersial berservis berprestij, Louvre Residence, dijangka siap menjelang Disember 2023.

Louvre Residence adalah projek suite pangsapuri perkhidmatan premium 34 tingkat, terdiri daripada 498 unit dengan saiz unit antara 614 hingga 2,359 kaki persegi dan 29 unit runcit dengan saiz unit antara 738 hingga 4,781 kaki persegi.

Pengarah Eksekutif Vortex, See Toh Kean Yaw berkata, dengan keadaan ekonomi semasa di mana ramai orang bergelut dengan keperluan ketat institusi kewangan dalam pasaran, Vortex akan membantu mereka yang bekerja sendiri dan tidak berpendapatan tetap, termasuk pekerja ekonomi gig, pemilik perniagaan dan peniaga atau usahawan kecil untuk memiliki rumah pertama mereka.

Beliau berkata, syarikat menawarkan dua skim pinjaman menarik dengan pilihan pembiayaan sehingga 80 peratus dan pembiayaan sehingga 100 peratus.

“Bagi mereka yang memerlukan 100 peratus pinjaman, kami akan menandatangani Perjanjian Pajakan-Untuk-Miliki di mana mereka akan dapat menikmati tiga tahun sewa pajakan tanpa faedah sebelum ditukar kepada Perjanjian Jual Beli (SPA), tertakluk kepada terma dan syarat lain. Kadar faedah akan dikenakan apabila SPA bermula,” jelasnya.

Kean Yaw berkata, ia adalah langkah strategik Kumpulan untuk memanfaatkan sumber dan keupayaan yang sedia ada dalam segmen pembangunan hartanah, pelaburan hartanah dan perkhidmatan kewangan, pada masa yang sama memberi manfaat kepada pengguna akhir.

“Oleh itu, cadangan penempatan persendirian Kumpulan baru-baru ini sehingga 127,580,200 saham penempatan (di bawah senario maksimum) kira-kira RM21.05 juta berdasarkan harga terbitan ilustrasi RM0.1650 sesaham, diperuntukkan untuk membiayai modal kerja yang diperlukan untuk perniagaan pinjaman wang kami yang boleh digunakan untuk menyediakan skim Bravo Financing,” jelasnya.

Tambah beliau, Kumpulan menjangkakan permintaan positif terhadap skim pembiayaan inovatif yang ditawarkan.

Selepas siap dan pengambilan penuh unit semasa Louvre Residence yang tidak terjual, Kumpulan menjangkakan dapat menjana anggaran pendapatan kira-kira RM452.7 juta dengan jangkaan keuntungan kasar sebanyak RM165 juta. Ia berdasarkan harga yang disemak semula, tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

“Selain itu, kami menjangkakan kira-kira RM25 juta hasil daripada pendapatan faedah untuk tiga tahun pertama, mengandaikan 50 peratus daripada pembeli Louvre Residence mengambil 80 peratus pinjaman berdasarkan skim Pembiayaan Bravo kami.

“Pihak pengurusan juga berhasrat untuk secara aktif meninjau dan menilai potensi projek hartanah yang sedang berjalan atau terbengkalai dengan nilai baik yang dianggap boleh dilaburkan bagi menyiapkan projek itu,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN