KUALA TERENGGANU: Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad merekodkan hasil pendapatan berjumlah RM159.4 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 iaitu peningkatan 44 peratus daripada RM111 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurut Pengarah Eksekutifnya, Najman Kamaruddin, pada suku dilaporkan, TDM Berhad mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM4.7 juta setelah mengalami kerugian RM1.4 juta pada 2021.
Beliau berkata, peningkatan itu didorong kenaikan pendapatan tahun ke tahun iaitu 70 peratus dalam bahagian perladangan selain pertumbuhan 16 peratus dalam sektor penjagaan kesihatan.
“Menerusi bahagian perladangan, pendapatan RM97.2 juta disumbang oleh purata harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi.
“Harga MSM ini dijangka kekal tinggi ekoran stok minyak masak yang terhad, harga minyak mentah yang tinggi serta ketidaktentuan bekalan minyak bunga matahari dan biji sesawi.
“Manakala dalam sektor penjagaan kesihatan, pertambahan jumlah kunjungan pesakit menjadi pemacu utama jumlah pendapatan RM62.2 juta,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau lagi, TDM Berhad yakin segmen perladangan akan terus berkembang selain bahagian penjagaan kesihatan yang dijangka menerima lebih ramai pesakit dalam negara ini menuju fasa endemik.
Najman berkata, isu kekurangan pekerja tenaga kerja di ladang dalam tempoh enam bulan pertama ini bagaimanapun menyebabkan pengeluaran buah tandan segar sedikit menyusut.
Jelasnya, walaupun Indonesia telah menarik balik larangan menghantar pekerja ke Malaysia, proses mendapatkan pekerja baharu dijangka mengambil masa yang panjang.
“Disebabkan itu, TDM Berhad mungkin tidak dapat memanfaatkan kesan positif tempoh pengeluaran puncak bagi MSM antara Ogos sehingga Oktober tahun ini.
“Sementara itu, pelan pengambilalihan KMI Tawau Medical Centre pula sedang ditambah baik dari aspek pertumbuhan kapasiti bagi menjadikannya pusat kesihatan pelancongan perubatan.
“Pada 20 Julai lalu, pihak Kumpulan telah membayar dividen akhir satu peringkat sejumlah RM6,030,079 juta atau 35 sen setiap saham biasa bagi tahun kewangan 2021,” ujarnya. – UTUSAN









