PETALING JAYA: Pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih rendah dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi menjejaskan untung bersih suku kedua RHB Bank Bhd. kepada RM634.83 juta daripada RM701.3 juta yang dicatatkan dalam suku sama 2021.
Keuntungan bersih untuk enam bulan pertama tahun ini juga sebanyak RM1.2 bilion, iaitu 8.62 peratus lebih rendah daripada tempoh yang sama tahun lalu.
Pendapatan sesaham untuk separuh pertama 2022 ialah 29.77 sen berbanding 33.71 sen sebelumnya.
Hasil bagi suku dalam tinjauan adalah setanding pada RM2.99 bilion berbanding RM2.93 bilion pada suku perbandingan.
Sepanjang tempoh enam bulan, hasil meningkat sedikit pada RM5.84 bilion daripada RM5.83 bilion setahun sebelumnya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd. Rashid Mohamad berkata, prestasi Kumpulan tetap berdaya tahan walaupun dalam persekitaran makroekonomi yang mencabar.
“Ia disokong oleh asas yang kukuh memandangkan keteguhan modal, kedudukan mudah tunai yang sihat dan perlindungan yang mencukupi untuk kerugian pinjaman.
“Bagaimanapun, kami tetap berwaspada dengan ketidaktentuan yang menyelubungi kadar pemulihan ekonomi dan akan terus mengekalkan pendirian berhemat sambil memantau kualiti aset dengan teliti,” katanya dalam kenyataan.
Kumpulan mengisytiharkan dividen interim sebanyak 15 sen sesaham, terdiri daripada pembayaran tunai 10 sen dan bahagian boleh pilih lima sen di bawah pelan pelaburan semula dividen.
Bagi separuh pertama 2022, pendapatan bukan berasaskan dana Kumpulan merosot kepada RM816.2 juta disebabkan pendapatan fi yang lebih rendah dan pendapatan dagangan dan pelaburan bersih.
Bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan dalam pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM3.03 bilion, didorong oleh pendapatan berasaskan dana kasar 6.7 peratus lebih tinggi pada pertumbuhan pinjaman 7.3 peratus.
Perbelanjaan mengurus lebih rendah sedikit pada RM1.75 bilion, walaupun pendapatan yang lebih lemah memberi kesan negatif kepada nisbah kos kepada pendapatan yang meningkat kepada 45.4 peratus daripada 44.5 peratus setahun sebelumnya.
Kerugian kredit yang dijangkakan (ECL) RHB berkurangan kepada RM192.4 juta daripada ECL yang lebih rendah atas pinjaman.
Sejajar dengan itu, nisbah caj kredit tahunan meningkat kepada 0.16 peratus berbanding 0.42 peratus bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Pada akhir Jun 2022, Ekuiti Biasa Tahap-1 (CET-1) RHB dan jumlah nisbah modal masing-masing berada pada 16.6 dan 19.2 peratus.
Pinjaman dan pembiayaan kasar Kumpulan meningkat 3.2 peratus kepada RM204.9 bilion, disokong terutamanya oleh pertumbuhan gadai janji, kewangan kereta, PKS dan Singapura. Pinjaman dan pembiayaan domestik meningkat 2.3 peratus tahun setakat ini. – UTUSAN









