
KESIBUKAN menguruskan rumah tangga serta empat anak yang masih bersekolah bukan penghalang untuk Noriza Azizan, 41,mengejar impian menjadi seorang usahawan berjaya.
Mula berjinak-jinak dalam perniagaan dengan menjual kerongsang lebih 10 tahun lalu, Noriza tidak menyangka mampu untuk duduk sebaris dengan usahawan wanita lain yang sedang mencipta nama.
Selain kerongsang, ibu kepada empat anak itu juga pernah menjual tudung, pakaian dalam atau anak tudung serta beberapa produk minuman kesihatan lain termasuk kopi, susu yang diekstrak daripada buah markisa, jus dan jamu dalam bentuk jeli di bawah jenama Nayumi.
Berkat kesabarannya, sebahagian daripada produk tersebut khususnya pelbagai minuman dan jamu yang dikenali sebagai Nayumi Sumee Kacyp Fatimah kini berjaya menembusi pasaran Brunei sejak bulan lepas.
Bersyukur dengan perkembangan itu, Noriza atau lebih mesra disapa sebagai Eija kini mula menyusun strategi lebih ampuh untuk memperluaskan empayar Nayumi ke negara lain selepas ini.
“Insya-Allah, jika ada permintaan untuk produk Nayumi, kami akan kembangkan ke lokasi lain pula secara berperingkat-peringkat.
“Pada masa ini, saya sedang gigih mendapatkan seberapa ramai ejen khususnya dalam kalangan suri rumah, ibu tunggal atau sesiapa sahaja yang berminat di seluruh negara bagi membantu memasarkan produk-produk ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, katanya, produk yang menjadi identiti kepada jenama Nayumi sebelum ini iaitu pakaian dalam atau inner empat warna atau ‘Nayumi Scaft by Eija Wan’ yang diperkenalkan sejak empat tahun lalu pula telah terjual sehingga melebihi 200,000 helai ketika ini.
Justeru, Noriza berkata, pihaknya akan turut memperkemaskan promosi untuk produk tersebut yang masih meletakkan sasaran mendominasi pasaran tempatan buat masa ini.
“Untuk pengetahuan, Nayumi Sumee Kacyp Fatimah dijual pada harga RM29 untuk setiap pek yang mengandungi tujuh peket manakala ‘inner’ empat warna pula berharga RM10 setiap satu.
“Buat masa ini, jumlah pengeluaran untuk produk Nayumi tidak dapat ditentukan sepenuhnya kerana dihasilkan mengikut permintaan semasa,” katanya yang bagaimanapun memberitahu, terdapat lebihan stok untuk setiap pengeluaran yang dibuat.
Mereka yang berminat untuk menjadi ejen bagi sebarang produk Nayumi boleh menghubungi Noriza di talian 012-5420119 untuk keterangan lanjut. – UTUSAN









