PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mengurangkan harga jualan rasmi (OSP) minyak mentah Malaysia pada Julai kepada AS$124.30 (RM553.49) setong berbanding AS$132.50 (RM590) pada Jun.
Menurut laporan Bloomberg, Petronas memberitahu perkara tersebut dalam kenyataannya di sini hari ini.
“OSP bagi minyak Malaysia lain pada Julai adalah Cendor pada AS$125.40 (RM558.42) setong, Tapis Blend pada AS$119.59 (RM532.54) setong, Dulang pada AS$127.32 (RM566.96) setong, Bintulu pada AS$122.28 (RM544.50) setong,” lapor Bloomberg.
Syarikat minyak nasional itu dalam laman web miliknya memberitahu, ia meneroka, mengeluar dan membangunkan sumber minyak dan gas di Malaysia dan luar negara untuk menyampaikan nilai jangka panjang kepada semua pemegang sahamnya.
“Dengan prospek luar pesisir di Kanada, penerokaan di Amerika Selatan dan penggerudian air dalam di Brunei, kami menerokai portfolio rizad yang luas, menggunakan teknologi inovatif dan membangunkan penyelesaian teknikal khusus untuk memaksimumkan potensi hidrokarbon kami,” katanya
Harga minyak mentah global dilaporkan jatuh pada hari ini, didorong oleh kejatuhan dalam sektor pembuatan dari China dan Jepun pada Julai.
Perkara tersebut menjejaskan prospek permintaan, sementara pelabur bersiap sedia untuk mesyuarat pegawai dari Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar terkemuka lain minggu ini pada pelarasan bekalan.
“Harga minyak mentah Brent turun 82 sen (RM3.65) atau 0.8 peratus pada AS$103.15 (RM459.31) setong pada 0608 GMT. Minyak mentah US West Texas Intermediate diniagakan pada AS$97.44 (RM433.88) setong, turun AS$1.18 (RM5.25) atau 1.2 peratus,” lapor Reuters.
Sementara itu, nota laporan Bulanan Global Julai 2022 Prospects Group, pasaran komoditi menyaksikan ketidaktentuan yang berterusan.
“Purata harga minyak mentah Brent pada Jun adalah AS$120 (RM534.34), sebelum jatuh di bawah AS$100 (RM445.27) setong menjelang pertengahan Julai, yang menunjukkan aktiviti global yang perlahan.
“Harga gas asli Eropah meningkat 15 peratus pada bulan Jun berbanding bulan sama tahun sebelumnya dan terus meningkat pada bulan Julai, didorong oleh Russia mengurangkan eksport gas ke Eropah, dengan penghantaran saluran paip turun kira-kira 60 peratus pada bulan Jun,” ujarnya. – UTUSAN









