Pengeluaran MSM dijangka meningkat

Pengeluaran MSM dijangka meningkat

KEMASUKAN semula pekerja asing membolehkan syarikat perladangan mengatasi masalah tuaian dan pungutan BTS, sekali gus meningkatkan pengeluaran MSM. – GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Indonesia membenarkan kemasukan pekerja mereka ke Malaysia bermula semalam, memberi manfaat kepada sektor perladangan yang ketika ini mengalami kekurangan tenaga pekerja terutama kategori penuaian dan pemungutan buah tandan segar (BTS).

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, dengan kemasukan pekerja dari Indonesia itu, jumlah pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) akan dapat ditingkatkan dan sasaran untuk mencapai 18.5 juta dijangka dapat dicapai.

“Pada Mei lalu, sektor perladangan dilaporkan mengalami kekurangan guna tenaga sebanyak 55,000 orang, meningkat sebanyak 17 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021 iaitu sebanyak 47,000 orang.

“Daripada jumlah kekurangan tersebut, 54 peratus adalah penuai dan pemungut BTS. Kekurangan tersebut telah menyebabkan pemprosesan BTS bagi tempoh Januari hingga Mei lalu berkurang sebanyak 0.7 peratus kepada 34.1 juta tan berbanding dengan 34.3 juta tan bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun, katanya, walaupun hasil BTS dalam tempoh Jan hingga Jun 2022 dilaporkan lebih rendah, hasil pendapatan syarikat perladangan pada separuh pertama 2022 dijangka tidak mengalami penurunan ketara kerana purata harga MSM dalam tempoh Jan hingga Jun 2022 adalah RM6,330 setiap tan, meningkat sebanyak 55.9 peratus berbanding RM4,062 setiap tan dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Ujarnya, harga MSM bagi 2022 dijangka berada pada purata antara RM5,000 hingga RM6,000 setan, lebih tinggi berbanding purata harga pada tahun sebelumnya.

“Dengan jangkaan bahawa pengeluaran MSM akan pulih pada separuh tahun kedua berbanding separuh tahun pertama, pendapatan syarikat perladangan dijangka lebih baik berban­ding dengan tahun sebelumnya.

“Sejajar dengan jangkaan harga yang lebih tinggi pada tahun ini, jangkaan pendapatan eksport negara berasaskan produk sawit dijangka meningkat kepada RM125 bilion berbanding RM108.5 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan Indonesia bersetuju menarik semula sekatan kemasukan tenaga kerjanya ke negara ini, berkuat kuasa 1 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN