PETALING JAYA: Pendapatan AirAsia X susut 5.0 peratus suku ke suku kepada RM107 juta pada suku keempat berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM113 juta yang direkodkan bagi suku sebelumnya.
Syarikat penerbangan bersekutu AirAsia Aviation Group itu turut merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM652 juta bagi tempoh berkenaan.
Namun, dari segi pendapatan, AirAsia X kembali mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM300,000 tetapi terkesan dengan peruntukan sekali sahaja untuk baucar perjalanan yang diedarkan kepada penumpang dan ejen pelancongan yang terjejas oleh penstrukturan semula hutang.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, selepas berdepan tempoh paling mencabar dalam industri penerbangan sejak dua tahun lalu, AirAsia X bangkit dengan lebih kuat.
“Syarikat penerbangan akan menyambung semula perkhidmatan ke destinasi jarak sederhana dalam beberapa bulan akan datang dan jarak jauh ke beberapa destinasi baharu bagi memenuhi permintaan terpendam yang kukuh.
“Kami juga optimis dengan kerjasama Capital A Group untuk memanfaatkan pelbagai sumber bagi melaksanakan strategi peningkatan operasi yang mantap.
“Selepas penstrukturan semula, AirAsia X telah mengumumkan pada 18 Ogos lalu bahawa ia berhasrat untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham berkenaan kerjasama melalui Cadangan Mandat Pemegang Saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi suku tersebut, kumpulan memberi peruntukan sekali sahaja berjumlah RM653 juta terutamanya untuk pengeluaran baucar perjalanan berkaitan dengan komitmen yang AirAsia X miliki untuk penumpang dan ejen pelancongannya yang terjejas.
Menurut syarikat itu, kumpulan terikat dengan syarat skim penstrukturan semula berkaitan hutang dan liabilitinya.
Oleh itu, syarikat dilarang secara sah daripada memberikan sebarang pembayaran balik tunai kepada penumpang dan ejen pelancongan.
Untuk memastikan penumpang yang terjejas dapat terbang dengan syarikat penerbangan itu semula dan sebagai tanda muhibah, AirAsia X memilih untuk menawarkan keistimewaan penerbangan promosi dalam bentuk baucar perjalanan kepada penumpang, sehingga jumlah penuh berikutan tempahan penerbangan yang dibatalkan disebabkan pandemik Covid-19,” katanya.
Apabila selesai penstrukturan semula hutangnya, secara rasmi pada 16 Mac 2022 melalui penyerahan sekatan mahkamah, kumpulan kini berada di landasan yang betul untuk meningkatkan operasi penerbangan penumpang berjadual dengan ketara untuk memenuhi permintaan terpendam yang kukuh.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Tony Fernandes berkata, syarikat kini bersandarkan kepada infrastruktur hasil daripada penstrukturan semula hutang dengan asas kos operasi yang paling rendah daripada mana-mana syarikat penerbangan dalam kategorinya.
“Bagaimanapun, memandangkan sekatan perjalanan masih dilaksanakan di beberapa negara tertentu, pelaburan dalam infrastruktur dan kakitangan untuk menyokong peningkatan operasi syarikat penerbangan akan mengakibatkan beberapa kos dan masa tambahan untuk jangka pendek,” katanya. – UTUSAN










