Gamuda, Litrak dapat kebenaran lupus aset lebuh raya

Pemegang saham beri ‘lampu hijau’

KERAJAAN sebelum ini mengumumkan penubuhan syarikat Amanah Lebuhraya Rakyat bagi mengambil alih konsesi empat lebuh raya di Lembah Klang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemegang saham Gamuda Bhd. dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd. (Litrak) memberi kebenaran untuk pelupusan aset lebuh raya mereka kepada Amanah Le­buhraya Rakyat (ALR).

Dalam satu kenyataan, Gamuda berkata, penjualan itu telah mendapat kelulusan lebih 99 peratus dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (AGM) Litrak pada 27 Julai lalu dan AGM kumpulan itu, Jumaat lalu.

“Perjanjian jual beli saham telah berjaya dilaksanakan de­ngan ALR, dengan semua syarat di bawah surat tawaran bersyarat dipenuhi,” katanya.

Gamuda, Litrak dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) sedang melupuskan empat syarikat pemegang konsesi lebuh raya Lembah Klang kepada ALR dengan agregat RM4.477 bilion.

Empat syarikat itu ialah Kesas Holdings Bhd., Sistem Penyu­raian Trafik KL Barat Holdings Sdn. Bhd. (SPRINT), Litrak dan Projek Smart Holdings Sdn. Bhd. (SMART).

Gamuda memiliki 70 peratus saham Kesas, manakala baki 30 peratus dipegang oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

SMART ialah usaha sama 50:50 antara MMC Corp Bhd. dan Gamuda.

Bagi SPRINT, Litrak meme­gang 50 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat konsesi lebuh raya, manakala Gamuda memegang 30 peratus dan KPS 20 peratus.

Sementara itu, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dimiliki sepenuhnya oleh Litrak, yang mana 42.8 peratus dikuasai oleh Gamuda.

Oleh itu, minat berkesan Gamuda dalam SPRINT ialah 51.4 peratus.

Gamuda sebelum ini mengumumkan bahawa empat syarikat pegangan konsesi, masing-masing secara berasingan telah menerima surat tawaran bersyarat untuk cadangan pelupusan semua sekuriti kepada ALR dan penyampaian penerimaan bertulis.

Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini mengumumkan, sebuah syarikat swasta yang semua pemegang sahamnya bukan berasaskan keuntungan, akan mengambil alih konsesi empat lebuh raya berkenaan.

Berikutan penstrukturan semula itu, Fadillah berkata, penjimatan diraih kerajaan menjangkau RM4.3 bilion boleh dimanfaatkan bagi tujuan kesejahteraan rakyat yang perlu di­utamakan, antaranya kemudahan infrastruktur negara.

Beliau berkata, amanat dan prinsip penstrukturan ALR selaras prinsip Keluarga Malaysia yang sentiasa mendahulukan keperluan dan kepentingan rakyat.

Saham Gamuda telah menokok satu sen atau 0.3 peratus kepada RM3.75 sesaham pada rehat tengah hari semalam, memberikannya permodalan pasaran RM9.58 bilion, manakala Litrak susut tiga sen atau 0.6 peratus kepada RM4.84 sesaham, bernilai RM2.61 bilion.

KPS kekal tidak berubah pada 71 sen sesaham, memberikannya permodalan pasaran RM381.54 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN