KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali mengumumkan pembentukan Pasukan Petugas Tenaga Penerbangan Lestari, selaras dengan komitmen antarabangsa dan aspirasi negara ke arah pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.
Beliau berkata, pasukan yang diketuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu akan menyediakan cadangan dasar dan pelaksanaan projek dan inisiatif nasional perkongsian awam-swasta untuk membantu mencapai pengurangan jejak karbon dalam industri aeroangkasa termasuk pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) di Malaysia.
“Pasukan petugas baharu ini adalah hasil maklum balas pihak industri untuk melihat bagaimana sektor awam dan swasta dapat mewujudkan satu jalinan kerjasama untuk membangunkan industri aeroangkasa.
“Memandangkan ini termasuk pengeluaran SAF di Malaysia, saya gembira entiti besar seperti Petronas telah bersetuju untuk menyertai kami dalam perjalanan kelestarian ini.
“Malaysia Airlines juga telah memulakan penrbangan sulung dengan menggunakan teknologi SAF pada 5 Jun lalu menerusi penerbangan laluan Kuala Lumpur ke Singapura. Ini merupakan satu kejayaan bagi MAS yang terlibat dalam teknologi hijau,” katanya dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Aeroangkasa 2022 (MyAERO’22) di sini, semalam.
MyAERO’22 mengumpulkan pihak berkepentingan dalam industri aeroangkasa yang menonjolkan potensi dan keupayaan semasa ekosistem industri aeroangkasa Malaysia dan menyediakan platform untuk pakar perkara untuk berkongsi dan mempromosikan pembangunan kecekapan industri.
Mengulas mengenai MyAERO’22, Azmin berkata, industri aeroangkasa Malaysia telah berada pada trajektori menaik untuk membantu meletakkan Malaysia sebagai kuasa besar serantau dan penting dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa global.
“Tahun lepas, industri ini merekodkan pelaburan bernilai RM104.7 juta, jumlah dagangan RM13.84 bilion dan pendapatan RM12.2 bilion. Pakej kerja bernilai RM2 bilion dianugerahkan kepada industri aeroangkasa tempatan membabitkan projek pembesaran subsektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bernilai RM600 juta yang dijangka dilaksanakan menjelang suku keempat tahun ini.
“Di samping itu, di bawah Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia, Malaysia menyasarkan untuk menjadi negara aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara menjelang 2030, selain muncul sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan aeroangkasa global.
“Rangka Tindakan itu menyasarkan jumlah hasil sebanyak RM55.2 bilion dan mewujudkan lebih daripada 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi,” ujarnya. – UTUSAN









