PETALING JAYA: Firma penyelidikan, MIDF Research menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini kepada 6.6 peratus daripada 6 peratus, berdasarkan prestasi suku kedua yang berkembang 8.9 peratus, melebihi jangkaan pasaran.
Pertumbuhan pada suku kedua lebih kukuh berbanding suku pertama yang berkembang 5.0 peratus menjadikan pertumbuhan ekonomi pada separuh pertama tahun ini sebanyak 6.0 peratus.
Menurut firma penyelidikan itu, pertumbuhan kukuh pada suku kedua melepasi jangkaan, dengan pasaran dipacu terutamanya oleh aktiviti ekonomi domestik dan pembukaan semula ekonomi.
“Momentum pertumbuhan positif akan berterusan sehingga separuh kedua dengan perbelanjaan pengguna semakin meningkat, aktiviti perniagaan berkembang dan pertumbuhan permintaan luar yang kukuh.
“Penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh dan prospek pekerjaan yang lebih baik akan membantu menyokong perbelanjaan pengguna, walaupun pengguna lebih berhati-hati dalam rancangan kewangan dan perbelanjaan mereka sebagai tindak balas kepada kenaikan kos sara hidup.
“Tetapi, kami masih kekal bimbang mengenai kemungkinan risiko penurunan terutamanya daripada perkembangan luaran seperti ekonomi China yang lemah, risiko kemelesetan dan penurunan mendadak dalam ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan global, ketidaktentuan konflik di Ukraine, ketegangan geopolitik dan tekanan inflasi global berikutan kenaikan harga komoditi,” katanya dalam nota kajian.
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh luar jangkaan sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua dipacu permintaan domestik yang kukuh di tengah-tengah pemulihan pasaran pekerjaan.
Walaupun KDNK meningkat sebahagiannya disebabkan oleh asas yang rendah berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh pada Jun 2021, pertumbuhan pada April dan Mei 2022 menunjukkan prestasi yang kukuh.
Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) masih kekal dengan unjuran ekonomi berkembang antara 5.3 hingga 6.3 peratus tahun ini yang cenderung ke arah sasaran lebih tinggi.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, unjuran itu kekal meskipun permintaan luaran dijangka terkesan berikutan pertumbuhan perlahan ekonomi global.
Pertumbuhan KDNK Malaysia pada suku kedua jauh lebih baik daripada apa yang dicatatkan oleh Amerika Syarikat (AS) 1.6 peratus, Singapura (4.4 peratus) dan China (0.4 peratus).
Bagaimanapun, penganalisis ekonomi meramalkan selepas lonjakan tinggi yang turut disumbang kebenaran mengeluarkan Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) pada Aril lalu, KDNK akan turun semula kepada 5.0 hingga 6.0 peratus pada suku ketiga, manakala bagi suku keempat antara 2.0 hingga 3.0 peratus. – UTUSAN









