PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perodua memperkenalkan Program Ekosistem Transformasi Digital MIDA-Perodua untuk meningkatkan pembekal automotif tempatan dalam digitalisasi.
Program itu bertujuan untuk menaiktaraf pembekal automotif tempatan ke peringkat seterusnya dengan menggunakan teknologi dan jentera termaju serta mendigitalkan proses pembuatan mereka dengan menggunapakai industri 4.0.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, syarikat-syarikat tempatan memainkan peranan utama dalam membina ekosistem industri negara, ke arah menyokong syarikat-syarikat besar dan syarikat
multinasional.
“Kerjasama di antara MIDA-Perodua yang bermula sejak 2020 adalah penting bagi memastikan keupayaan pemain tempatan kami dalam industri automotif terus kukuh.
“Di bawah inisiatif MIDA, untuk memberi kemudahan kepada syarikat-syarikat menggunapakai pendigitalan dan industri 4.0, kami berjaya menyumbang kepada pertumbuhan besar pembuatan Perodua, melalui pemerkasaan rakan kongsi industri dan penyedia perkhidmatan mereka,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran program di Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Arham, kerajaan telah melaksanakan usaha bersepadu dalam mengkaji semula dasar sedia ada dan menentu ukur semula strategi pelaburan untuk memastikan persekitaran perniagaan Malaysia kekal kondusif kepada pelabur-pelabur global.
Kerajaan juga katanya, sentiasa berusaha untuk mempromosi dan membantu syarikat tempatan untuk meningkatkan dan menyegerakan penggunaan teknologi pembuatan pintar dan Industri 4.0 melalui pelbagai insentif dan kemudahan.
Untuk 2022, MIDA meneruskan inisiatifnya melalui seminar pelaburan domestik, penglibatan dengan persatuan-persatuan dan dewan-dewan perdagangan kebangsaan, program rantaian industri/rantaian bekalan serta komitmen platform
penyelarasan pelaburan domestik.
Sehingga 30 Jun 2022, 238 syarikat milik rakyat Malaysia telah diluluskan dengan geran perniagaan bernilai RM138.5 juta. Penerima adalah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) daripada industri intensif buruh seperti plastik, kayu, perabot dan tekstil, manakala selebihnya daripada industri berkaitan perkhidmatan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, program Ekosistem Transformasi Digital MIDA-Perodua adalah sejajar dengan usaha Kerajaan untuk meningkatkan aktiviti pembangunan ekosistem teknologi tempatan dari segi rantaian bekalan dan nilai, aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta inovasi dan pengkomersilan.
Katanya, program itu telah memberi petunjuk yang memberangsangkan kerana para peserta kumpulan pertama telahpun melaksanakan projek cadangan mereka.
“Program ini adalah untuk mempamerkan kemajuan projek kumpulan pertama serta mengalu-alukan kumpulan kedua ke projek tersebut kerana mereka juga turut membentangkan idea industri 4.0 yang boleh dilaksanakan di dalam operasi
mereka,” katanya.
Fasa pertama perkongsian strategik MIDA-Perodua telah melahirkan tiga rakan kongsi niaga Perodua yang berpotensi, termasuk LSF Technology Sdn.Bhd., J.K. Wire Harness Sdn. Bhd. dan Autoliv Hirotako Safety Sdn. Bhd.
Syarikat-syarikat itu juga telah diberikan Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) sebagai sebahagian daripada inisiatif Kerajaan untuk membantu syarikat tempatan memasuki rantaian bekalan global.
Di bawah program seumpama itu, MIDA dan Perodua telah mengenal pasti lima vendor baharu yang telah menunjukkan potensi dan berpeluang untuk berkembang. Ia termasuk Armstrong Auto Parts Sdn. Bhd., Ingress Aoi Technologies Sdn. Bhd., Namicoh Suria Sdn. Bhd., P.D. Kawamura Kako Manufacturing Sdn. Bhd. dan Kumpulan Jebco (M) Sdn. Bhd. – UTUSAN










