PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) dan PCC SE telah menandatangani Letter of Expression (EOI Letter) dengan Menteri Besar Terengganu (Perbadanan) (MBI), syarikat milik kerajaan Terengganu, untuk kajian daya maju ke atas PCG PCC Oxyalkylates Sdn. Bhd. (PCGPCC).
PCGPCC ditubuhkan pada 2020 sebagai usaha sama antara PCG dan PCC SE untuk membina loji oxyalkylates di Kerteh, Terengganu.
Dengan penandatanganan surat tersebut, kerajaan negeri Terengganu akan melaksanakan kajian daya maju yang relevan untuk membuat keputusan pelaburan muktamad untuk mengambil alih sejumlah 5.0 peratus ekuiti daripada pemegang saham semasa dalam PCGPCC.
Surat tersebut telah ditandatangani oleh wakil MBI, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mohd. Yusri Mohamed Yusof dan Ahli Pengurusan PCC SE, Peter Berger dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahmad Samsuri berkata, Petronas telah memainkan peranan penting dalam membangunkan Terengganu melalui pelbagai inisiatif dalam pendidikan, pembangunan dan kesejahteraan komuniti serta alam sekitar.
“Penandatanganan surat itu merupakan satu lagi langkah ke arah mengukuhkan pembangunan ekonomi Terengganu.
“Kami mengalu-alukan peluang ini untuk menjadi rakan kongsi strategik dalam PCGPCC. Selain bertindak sebagai pemangkin pembangunan di negeri ini, pelaburan oxyalkylates PCG dan PCC SE yang berterusan akan menjana peluang pekerjaan, termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi untuk masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Mohd. Yusri berkata, PCG mengalu-alukan aspirasi kerajaan negeri Terengganu untuk menceburi industri petrokimia.
Ujarnya, kerajaan negeri sentiasa menyokong Petronas dan PCG dengan menyediakan infrastruktur dan sumber yang diperlukan untuk projek dan pembangunan dilaksanakan.
“Selama ini, kerjasama kukuh kami telah menghasilkan pelbagai ekonomi spin-off yang telah memberi manfaat kepada rakyat Terengganu dan kami berharap usaha baharu ini akan mengukuhkan lagi hubungan kami dengan kerajaan negeri Terengganu,” katanya.
Oxyalkylates adalah sekumpulan bahan kimia yang terdiri daripada etoksilat (surfaktan bukan ionik) dan poliol polieter. Bahan kimia ini digunakan dalam pembuatan pelbagai produk akhir.
Antara kegunaan etoksilat adalah dalam pembuatan bahan cuci, produk penjagaan rumah dan produk penjagaan diri. Manakala poliol polieter digunakan terutamanya dalam menghasilkan busa poliuretana untuk tilam dan aplikasi bahan-bahan upholsteri. – UTUSAN










