fbpx

Matrix Concepts beli 559 hektar tanah di MVV 2.0

Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concept, Datuk Seri Lee Tian Hock (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengerusi NS Corp., Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek pada majlis menandatangani perjanjian usahasama di antara kedua belah pihak di Seremban, semalam.

SEREMBAN: Syarikat pemaju perumahan, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) membeli tanah seluas kira-kira 559 hektar di kawasan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0.

Perjanjian pembelian tanah bernilai RM460 juta itu telah berlangsung semalam di antara N9 Matrix Development Sdn. Bhd. (N9 Matrix) yang merupakan anak syarikat Matrix Concepts dengan NS Corporation (NS Corp.), pemilik pelan pembangunan hartanah yang terletak di daerah Seremban dan Port Dickson itu.

Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, pembelian tanah itu merupakan perjanjian pembelian tanah terbesar di negara ini dari segi saiz dalam tempoh lebih lima tahun.

“Pembelian ini akan meningkatkan secara positif simpanan tanah sedia ada Matrix Concept dan seterusnya mengesahkan kedudukan syarikat itu di Negeri Sembilan bagi mengekalkan pertumbuhan berterusannya. 

“Pemerolehan itu akan dibiayai melalui dana dan pinjaman yang dijana secara dalaman dan akan tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.

“Matrix Concept  merancang untuk membangunkan sebuah perbandaran yang mampan dengan nilai pembangunan kasar RM7 bilion sama seperti pembangunan kawasan Sendayan yang telah memenangi pelbagai anugerah yang hanya terletak tiga kilometer dari tanah yang dibeli tersebut,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Haslah berkata, pihaknya berharap bekerjasama secara erat dengan pihak kerajaan Negeri Sembilan dapat dijalankan bagi mendukung pembangunan negeri itu, sekali gus memberikan peluang untuk Matrix Concepts menjadi antara pemain industri hartanah bagi meningkatkan pembangunan sosioekonomi melalui MVV 2.0. 

“Kami melihat perubahan pembangunan di Negeri Sembilan apabila kebanyakan masyarakat mula tertumpu ke sini. Peningkatan harga rumah memberikan peluang mereka (orang ramai) mendapatkan harga rumah yang jauh lebih rendah berbanding Lembah Klang.

“Matrix Concepts menyasarkan untuk memperkenalkan komponen perhotelan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sokongan di perbandaran itu, yang dijadualkan dibangunkan dalam tempoh 10 tahun, dengan pelancaran hartanah pertama dijangka dalam masa tiga tahun,” katanya.

Pada majlis sama, Matrix Concepts menerusi anak syarikat milik penuhnya, MCHB Development (NS) Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian usahasama dengan NS Corp. untuk bekerjasama dalam pembangunan tanah tersebut. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN