Malaysia laksana reformasi sistem cukai antarabangsa

Malaysia laksana reformasi sistem cukai antarabangsa

MOHD. Nizom Sairi (tiga, kanan) bersama Pengerusi Institut Strategi Antarabangsa , Cheah Chyuan Yong (tiga, kiri) merasmikan Forum Polisi Cukai Malaysia Ke-3 di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia secara dasarnya bersetuju untuk me­lak­sanakan reformasi komprehensif sistem cukai antarabangsa yang akan mewajibkan kadar cukai minimum 15 peratus ke atas sesetengah syarikat multinasional (MNE).

Ketua Pegawai Eksekutif Lem­baga Hasil Dalam Nege­ri (LHDN), Datuk Mohd. Nizom Sairi berkata, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mengumumkan sehingga kini sebanyak 136 negara telah bersetuju dengan pembaharuan menyeluruh sistem tersebut yang dijangka akan diimplimentasikan bermula tahun hadapan.

Menurutnya, sistem itu bagi memastikan syarikat multinasional membayar bahagian cukai yang saksama di mana sahaja mereka beroperasi dan menjana keuntungan.

“Sebenarnya di peringkat global, inisiatif ini memang dijangkakan untuk diimplimentasi pada tahun 2023 dengan 136 negara masih dalam peringkat perbincangan bersama OECD.

“Malaysia memang melibatkan diri secara aktif dalam wor­king group discussion tersebut untuk memastikan kepentingan negara (terjamin) dan ekonomi membangun seperti Malaysia tidak ketinggalan dalam OECD menentukan polisi,” katanya kepada pemberita selepas me­rasmikan Forum Polisi Cukai Malaysia Ke-3 di sini, semalam.

Beliau berkata, sistem percukaian itu akan mewajibkan kadar 15 peratus terhadap sesetengah MNE dan memperuntukkan semula lebih AS$125 bilion (RM569.41 bilion) keuntungan daripada kira-kira 100 MNE terbesar serta paling untung di dunia kepada semua negara.

Jelasnya, ia bagi memastikan perusahaan multinasional membayar cukai yang betul dan di tempat sepatutnya.

“Bagi memastikannya, kita akan terus membangunkan strategi komprehensif untuk menangani risiko pematuhan cukai antarabangsa termasuk menggesa firma-firma multinasional untuk lebih telus,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Nizom berkata, LHDN juga sedang memantau hampir 3,000 MNE yang beroperasi di negara ini melalui Cawangan Cukai Multinasional serta syarikat tempatan yang beroperasi di negara lain bagi mengenal pasti jika terdapat isu-isu pemindahan harga (transfer pricing).

“Kebanyakannya syarikat antarabangsa yang melibatkan perusahaan rentas sempadan (cross border businesses) tapi bagi syarikat-syarikat di dalam negara, jika berlaku ‘transfer pricing’ ia (berlaku) antara kumpulan dalam syarikat itu (jika) ia menikmati cuti percukaian atau insentif percukaian apabila kadar cukai adalah rendah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN