PETALING JAYA: UMW Holdings menghantar sebanyak 24,983 unit kenderaan pada Julai lalu, berbanding hanya 2,105 unit yang didaftarkan pada Julai 2021.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, kedua-dua UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mempunyai tempahan tertunggak yang besar dan akan terus meningkatkan pengeluaran untuk menghantar kereta kepada pelanggan.
“Dengan pengurangan kekurangan cip semikonduktor dan rantaian bekalan yang bertambah baik, kami yakin dapat mencapai sasaran jualan kami untuk tahun ini,” katanya dalam kenyataan.
Kumpulan dalam kenyataan turut memaklumkan, bagi tujuh bulan pertama tahun ini, telah menghantar sejumlah 198,237 unit, iaitu 48 peratus lebih tinggi daripada 133,506 unit yang didaftarkan pada tempoh sama tahun lalu.
Jelasnya, UMWT mencatatkan jualan sebanyak 6,637 unit pada Julai 2022, berbanding 1,450 unit setahun lalu yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP) yang dilaksanakan kerajaan untuk membendung penularan Covid-19.
“Setakat ini (sehingga Julai 2022), UMWT mencatatkan jualan sebanyak 52,548 unit, iaitu 48 peratus lebih tinggi daripada 35,561 unit yang didaftarkan pada tempoh yang sama tahun lalu.
“Untuk menyegarkan semula barisan model UMWT, kami mula menerima tempahan untuk Toyota Veloz serba baharu pada 24 Jun yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
“UMWT turut menawarkan promosi istimewa untuk pembelian Vios dan Yaris, sebagai sebahagian daripada kempen jualan pada Ogos untuk meningkatkan buku pesanan,” ujarnya.
Sementara itu, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 18,346 unit pada Julai 2022, lebih tinggi daripada 655 unit yang didaftarkan Julai 2021.
Bagi tujuh bulan pertama tahun ini, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 145,689 unit, iaitu 49 peratus lebih tinggi daripada 97,945 unit yang didaftarkan pada tempoh sama 2021.
UMW berkata, untuk mengukuhkan lagi kedudukan peneraju pasarannya, Perodua melancarkan Perodua Alza serba baharu pada 20 Julai lalu, selain memperkenalkan Ativa Hybrid ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. – UTUSAN









