
SENTIASA berkongsi rezeki dengan membantu stokis dan ejen peruncit antara kunci kejayaan pengeluar snek telur masin bersira, Aducktive Food Sdn. Bhd. (Aducktive) yang mula bertapak dalam dunia perniagaan sejak Februari 2019.
Menurut pengasasnya, Anif Azami, beliau memulakan perniagaannya itu dari sebuah rumah sewa sebelum Aducktive mampu memberikan peluang perniagaan kepada lebih 6,500 ejen dan stokis di seluruh negara serta penglibatan rakan-rakan di Brunei dan Singapura.
Anak kelahiran Ulu Tiram, Johor itu yang juga lulusan Universiti Malaya (UM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan berkata, minatnya timbul selepas menjual kuih raya secara kecil-kecilan di Bazar Ramadan di Puchong, Selangor pada 2018.
“Menyedari potensi tinggi perniagaan, tercetus idea untuk menghasilkan snek yang boleh dimakan setiap masa dan bertepatan dengan selera pelanggan.
“Saya kemudian terfikir mengenai snek berasaskan telur masin dengan gabungan nama Aducktive iaitu addictive (ketagihan) dan duck salted egg (telur masin itik),” kata Pengarah syarikat itu kepada Utusan Malaysia.

Bermula detik itu, Anif dan isterinya nekad memfokuskan perniagaan dengan menyewa sebuah rumah bagi menghasilkan 100 balang snek berkenaan setiap hari.
“Keunikan produk kita yang bersira dan bukannya berserbuk mendapat sambutan hangat pelanggan di sekitar Lembah Klang.
“Biarpun hanya menjual kepada rakan sepejabat dan secara dalam talian, konsistensi pengeluaran menarik minat ejen negeri lain untuk turut menyertai keluarga Aducktive,” kata bekas kakitangan kerajaan itu.
Kini, kegigihan bapa kepada seorang anak itu nyata membuahkan hasil apabila turut sudah memiliki kilang sendiri di Kota Puteri, Ijok.
“Niat saya hanya mahu berkongsi rezeki dengan menambah sebanyak mungkin ejen peruncit dan stokis. Kita kini mampu menghasilkan sebanyak 6,000 unit produk sehari atau 180,000 sebulan selain menjadi pengedar tunggal di Mesra Petronas dan pusat beli-belah Aeon,” jelasnya.

Aducktive kini mempunyai empat snek utamanya iaitu Spicy Salted Egg Cornflakes, Original Salted Egg Cornflakes, Spicy Salted Egg Baby Roll dan yang terbaharu, Spicy Salted Egg Nasi Lemak Cornflakes.
Dalam pada itu, Anif berkata, Aducktive turut menyasarkan pasaran eksport ke Dubai dan Taiwan dengan perolehan jualan berjumlah RM10 juta tahun ini.
“Kami menerima permintaan daripada pelabur luar yang mahu memasarkan produk syarikat ke dua negara itu. Pengeksportan baharu itu meningkatkan sasaran jualan RM10 juta berbanding hanya RM8 juta sebelum ini dan syarikat turut menyasarkan penambahan 1,000 lagi ejen peruncit,” ujarnya.
Orang ramai yang berminat menjadi stokis atau ejen boleh menghubungi platform media sosial Aducktive bagi mengetahui lebih lanjut pakej disediakan. – UTUSAN










