KDNK suku kedua diunjur tumbuh pada 5.5 peratus - Utusan Malaysia

KDNK suku kedua diunjur tumbuh pada 5.5 peratus

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua tahun ini diunjurkan berkembang kepada 5.5 peratus, berikutan manfaat daripada peralihan negara ke fasa endemik dan pembukaan sempadan negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua tahun ini diunjurkan berkembang kepada 5.5 peratus, berikutan manfaat daripada peralihan negara ke fasa endemik dan pembukaan sempadan negara bermula pada 1 April lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, keseluruhan suku terbabit akan menerima manfaat dari segi sosial dan ekonomi terutamanya dalam penggunaan domestik.

Katanya, suku tersebut menyaksikan peningkatan perbelanjaan domestik termasuk dalam sektor pelancongan dengan kehadiran pelancong asing ke negara ini.

“Selain itu, pelaburan swasta juga dijangka meningkat pada suku kedua. Ini kerana pada suku pertama ia agak lemah dipengaruhi oleh sentimen disebabkan sekatan semasa pandemik.

“Kami juga menjangkakan penggunaan swasta turut meningkat. Ini didorong oleh lebih banyak pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Kim Leng berkata, pertumbuhan pada suku tersebut juga akan dipacu oleh prestasi eksport yang lebih mampan dan peningkatan harga komoditi.

“Kita menjangkakan eksport negara meningkat pada suku tersebut yang sekaligus melonjakkan pendapatan eksport Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara cabaran yang dihadapi pada suku kedua adalah input tenaga yang tinggi berikutan inflasi yang dicetus oleh perang antara Russia dan Ukraine.

“Selain itu, terdapat juga gangguan dalam rantaian bekalan global yang memberi kesan kepada sesetengah industri dan membawa kepada peningkatan kos pengangkutan.

“Peningkatan kos turut memberi kesan kepada sektor pembuatan yang dijangka memberi impak pada margin keuntungan yang lebih rendah jika tidak dapat diturunkan kepada pengguna. 

“Tidak dilupakan adalah masalah kekurangan pekerja asing dalam industri terpilih seperti minyak sawit, pertanian dan sektor pembuatan yang memerlukan ramai pekerja. Mereka tidak dapat memanfaatkan permintaan yang semakin naik kerana gagal meningkatkan pengeluaran akibat masalah tersebut,” jelasnya.

Pada suku pertama lalu, Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.0 peratus.

Bank Negara Malaysia (BNM) bakal mengumumkan KDNK suku kedua minggu hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya