PETALING JAYA: Jumlah penawaran dan penggunaan dalam ekonomi Malaysia pada 2020 adalah sebanyak RM4.1 trilion berbanding RM4.38 trilion tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Jelasnya, kadar pertumbuhan tahunan menyusut sebanyak 6.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah pengeluaran domestik pula katanya, menurun 5.9 peratus kepada RM3.26 trilion (79.7 peratus) pada 2022 daripada RM3.46 tilion (70 peratus) 2019.
“Pengeluaran domestik diterajui oleh sektor pembuatan dengan 43.4 peratus (RM1.41 trilion). Sektor kedua terbesar adalah sektor perkhidmatan dengan sumbangan 42.2 peratus.
“Sementara itu, import menyumbang 19.2 peratus dengan mencatatkan nilai RM783.2 bilion, turun sebanyak 10.4 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
DOSM berkata, cukai bersih ke atas produk berjumlah RM45.9 bilion pada 2020 berbanding RM44.9 bilion tahun sebelumnya, pertumbuhan tahunan 2.2 peratus.
Tambahnya, penggunaan perantaraan dipacu oleh sektor pembuatan dengan sumbangan 58.8 peratus, meningkat kepada RM1.11 trilion, terutamanya disokong oleh subsektor komponen dan papan elektronik (RM173.1 bilion), minyak dan lemak sayuran dan haiwan (RM134.5 bilion), kok dan produk petroleum bertapis (RM126.9 bilion).
Pengguna akhir teriama disumbangkan oleh eksport 39.7 peratus atau RM873.5 bilion, diikuti penggunaan swasta 39.2 peratus (RM863 bilion) dan pembentukan modal tetap kasar 13.5 peratus (RM296.7 bilion).
Menurut DOSM lagi, sektor pembuatan mencatatkan pengganda output tertinggi dengan nilai 2.04, sementara subsektor kewangan dan insurans mencatatkan pengganda nilai ditambah tertinggi iaitu 0.90.
“Sektor pembuatan dan subsektor utiliti merupakan sektor utama. Sektor dan subsektor ini berupaya menyediakan output secara meluas dalam kalangan industri dan pengaruhnya kepada ekonomi adalah lebih besar daripada purata keseluruhan industri di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










