ISKANDAR PUTERI: Iskandar Investment Berhad (IIB) bersedia turut serta dalam pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) yang dijangka bernilai RM1.3 bilion menjelang 2030.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, anak syarikat IIB, iaitu EduCity Iskandar telah memulakan kolaborasi dengan Nano Malaysia Berhad dalam projek EV/AV Mikro-mobiliti dengan memberi fokus terhadap kenderaan EV dua tayar (motosikal).
Menerusi kerjasama itu, Nano Malaysia telah membawa kepakaran daripada konsortium Korea Selatan terdiri dari Hyundai Kefico Corporation, Tham Corporation Curo Co Ltd., Hyundai Electric and Energy Systems Co. Ltd., Daegu Mechatronics and Materials Institute (DMI) dan Signet EV.
“IIB akan bekerjasama dengan pemain industri Korea Selatan ini dalam membangunkan hab EV merangkumi bidang penyelidikan, latihan, ruangan ujian dan stesen pengecasan bateri. IIB juga dalam proses membawa beberapa pemain industri bertaraf global untuk turut serta bertapak di Iskandar Puteri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 2015, IIB menerusi Medini Iskandar Malaysia telah memulakan inisiatif EV, iaitu kenderaan yang pertama diperkenalkan di Medini dengan kerjasama Mitsui Japan, namun kerjasama itu terhenti akibat pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, Khairil Anwar berkata, pada masa sama, IIB akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebelum memperluaskannya dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain.
“Perkembangan EV di Singapura merupakan berita baik untuk Iskandar Malaysia yang berpeluang menjadi peneraju dalam bidang ini berdasarkan lokasi dan geografi serta permintaan yang tinggi untuk prasarana EV, terutamanya dari Singapura dan rakyat Johor yang berulang-alik ke Singapura.
“Iskandar Puteri harus mula menyediakan ekosistem yang baik bagi EV dan IIB akan bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk menjadikan Johor sebagai ‘Negeri Mesra EV’,” katanya sambil menegaskan, perkara itu amat relevan bagi Iskandar Malaysia dan Johor kerana kemasukan EV ke negeri ini akan bertambah dan rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura juga mula memilih kenderaan itu untuk kegunaan harian.

Penggunaan EV bukan sahaja menurunkan kadar pelepasan karbon, bahkan membuka pelbagai peluang komersial dalam bidang tersebut dan IIB bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menyediakan ruangan yang kondusif untuk ujian atau Pilot Project EV di Iskandar Puteri berdasarkan kemudahan dan infrastruktur yang telah lengkap dibina.
“Menjadi aspirasi pihak IIB untuk melihat Iskandar Malaysia dan Johor memiliki jumlah stesen pengecasan bateri tertinggi di Malaysia,” katanya.
Kata beliau, kerajaan harus menggalakkan penglibatan dan pelaburan pemain industri, terutamanya yang bertaraf global untuk turut serta dalam pembangunan hab EV di Iskandar Puteri dan Iskandar Malaysia.
Beliau turut menyarankan kerajaan memperkenalkan polisi untuk menggalakkan perkembangan industri tersebut merangkumi pembinaan ekosistem EV, pusat pengecasan, tarif elektrik untuk pengecasan, bidang penyelidikan sistem bateri dan insentif untuk pemilikan kenderaan elektrik.
“Kempen mendidik masyarakat dan menanam kesedaran dalam kalangan warga korporat harus dimulakan dari sekarang secara konsisten. Ini penting untuk memastikan semua lapisan masyarakat bersedia menerima EV sebagai pengangkutan alaf baharu bagi memastikan kejayaan agenda ini,” katanya.
Menurutnya, usaha tersebut seiring dengan gagasan Iskandar Next oleh IIB dan ‘Advancing Malaysia’ oleh syarikat induknya, Khazanah Nasional.
Dalam pada itu, Khairil Anwar memaklumkan di bawah ekosistem DRZ Iskandar, tapak ujian untuk Autonomous Vehicle (AV) pertama di Iskandar Puteri akan dilancarkan pada bulan depan dengan jalan raya sepanjang 25 kilometer telah diluluskan oleh Kementerian Pengangkutan sebagai tapak ujian AV terbesar di Malaysia.
IIB kini giat membangunkan ekosistem inovasi dan digital di Iskandar Puteri untuk mendorong syarikat teknologi mengalihkan tumpuan ke Iskandar Puteri dan beberapa projek digital IIB seperti DRZ Iskandar mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan hasilnya, semakin banyak syarikat berkaitan dron dan teknologi digital mula bertapak di Medini. – UTUSAN









