IIB bangunkan populasi, hab ekonomi

IIB bangunkan populasi, hab ekonomi

PEMANDANGAN bandar Iskandar Puteri, hab pembangunan dan ekonomi baharu di Johor yang dibangunkan oleh Iskandar Investment Berhad. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Iskandar Investment Berhad (IIB) memberi fokus terhadap pembangunan ekosistem untuk membangunkan populasi dan hab ekonomi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di Iskandar Puteri.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, langkah itu bagi melengkapi infrastruktur sedia ada yang dibangunkan sejak 15 tahun yang lalu.

Beliau berkata, agenda pembinaan ekosistem itu diterajui oleh beberapa inisiatif yang dikenali Iskandar New Economy, Experience and Talent (NEXT).

“Iskandar NEXT ini memberi tumpuan terhadap aspek pembangunan ekonomi baharu yang berkaitan dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Selain itu, pembangunan tersebut juga boleh menawarkan pembaharuan dan meningkatkan kualiti hidup lebih tinggi dalam bidang perniagaan serta gaya hidup seperti Smart City.

“Iskandar NEXT juga memberi penekanan terhadap peningkatan kualiti kerja menerusi pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi terutamanya dalam bidang digital, dron dan robotik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Antara projek pembangunan hab ekonomi baharu yang diilhamkan ialah Zon Dron dan Robotik (DRZ) Iskandar, Perantis Iskandar, Program Bakat Digital dan Teknologi Baharu Johor (JDETT), projek solar dan Pusat Kecemerlangan Industri Kenderaan Elektrik (EV).

IR. KHAIRIL ANWAR AHMAD

Khairil Anwar berkata, pelaksanaan agenda Iskandar NEXT itu akan dilaksanakan menerusi model kerjasama pihak awam dan swasta dengan IIB memainkan peranan sebagai ‘enabler’.

Katanya, ia bagi membolehkan agenda ekonomi kerajaan dapat direalisasikan dan pada masa sama memenuhi keperluan para pelabur serta pemain industri.

“Arah tuju Iskandar NEXT ialah untuk menyediakan Iskandar Puteri sebagai sebuah destinasi ideal yang dilengkapi dengan infrastruktur yang baik, tenaga kerja berkemahiran dan disokong oleh insentif daripada kerajaan,” katanya.

Menurutnya, IIB yang ditubuhkan sebagai syarikat pemaju pemangkin berjaya membangunkan Iskandar Puteri yang menjadi katalis bagi pembangunan wilayah Iskandar Malaysia, salah sebuah koridor ekonomi yang pesat membangun.

Antara projek pemangkin yang telah dilaksanakan ialah pembinaan rangkaian lebuh raya dari Johor Bahru ke Iskandar Puteri, taman tema Legoland, EduCity dan pusat bandar Medini.

“Usaha pembangunan ini berjaya menarik pelaburan ke Iskandar Malaysia seperti institusi pengajian antarabangsa, perhotelan dan hartanah selain mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan, khususnya bagi warga tempatan,” katanya.

Malah, baru-baru ini IIB menerusi anak syarikatnya, IIB Ventures Sdn. Bhd memeterai memorandum persefahaman dengan Futurise Sdn. Bhd., untuk membangunkan program sukan dron menerusi Akademi Kecemerlangan Sukan Dron (Aksadron), salah satu usaha membangunkan industri dron di negara ini.

Kerjasama itu akan menentukan program dan acara Aksadron ke dalam DRZ Iskandar yang terletak di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN