PETALING JAYA: Leon Fuat Berhad (Leon Fuat), pengilang dan peniaga produk keluli yang mengkhususkan dalam keluli bergulung panjang dan rata, melaporkan peningkatan 35.8 peratus dalam hasil jualan kepada RM250.93 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM184.78 juta yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.
Untuk tempoh sama tahun ini kumpulan syarikat itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM18.04 juta, penurunan 57.6 peratus daripada RM42.57 juta yang dicatatkan pada suku kedua tahun lalu.
Keuntungan selepas cukai pula RM14.02 juta, yang merupakan penurunan 56.3 peratus dari RM32.12 juta yang dilaporkan pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.
Bagi suku dalam tinjauan, segmen dagangan menyumbang 38.4 peratus kepada hasil jualan manakala segmen pemprosesan menyumbang 61.5 peratus.
Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2022, Leon Fuat mencatatkan peningkatan hasil jualan 32.2 peratus ke RM523.95 juta berbanding RM396.26 juta yang dicatatkan dalam enam bulan berakhir 30 Jun 2021.
Bagi tempoh itu, kumpulan syarikat terbabit melaporkan PBT RM49.85 juta, penurunan 41.4 peratus daripada RM85.10 juta yang dicatatkan pada suku sama 2021 manakala bagi separuh pertama 2022, PAT menurun 44.4 peratus ke RM37.91 juta berbanding RM68.23 juta yang dicatatkan pada tempoh sama 2021.

“Kami menyaksikan hasil jualan keseluruhan yang lebih tinggi dengan peningkatan sumbangan daripada perdagangan dan pemprosesan produk keluli, tetapi gabungan margin keuntungan kasar keseluruhan yang lebih rendah dan susut nilai inventori sebanyak RM13.88 juta pada suku semasa apabila inventori tertentu ditimbang dengan anggaran nilai boleh direalisasikan menyebabkan kelemahan PBT.
“Prospek ekonomi global kekal tidak menentu berikutan gabungan faktor penguncupan China, perang Rusia-Ukraine dan dasar monetari yang lebih ketat sebagai respon kepada inflasi.
“Walaupun ekonomi domestik setakat ini telah mengharungi cabaran dengan gabungan eksport yang berdaya tahan dan penggunaan swasta, ketidaktentuan kekal kerana potensi risiko daripada gangguan rantaian bekalan dan kenaikan harga komoditi yang menyebabkan tekanan inflasi.
“Kami berasa neutral terhadap prospek untuk suku-suku tahun ini yang akan datang memandangkan cabaran-cabaran tersebut terutamanya dengan kemerosotan harga keluli dan mata wang ringgit yang lebih lemah.
“Kami telah meningkatkan pemantauan harga keluli dan mata wang berkaitan dan terus mengambil langkah proaktif termasuk merundingkan kontrak hadapan, jika perlu, serta pengurusan inventori yang berhemat, untuk mengurangkan sebarang kesan negatif yang mungkin timbul.
“Kumpulan Syarikat akan berusaha untuk mengekalkan kos operasi pada tahap yang boleh diurus dan pada masa yang sama meningkatkan keupayaan dan kecekapan operasi untuk memenuhi keperluan pelanggan dan juga memastikan pesanan pelanggan dipuaskan dalam masa yang tertetap,” kata Pengarah Eksekutif Leon Fuat, Calvin Ooi Shang How. – UTUSAN








