KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) komited melahirkan lebih ramai pemimpin digital dalam kalangan generasi keluarga Felda seiring dengan Revolusi Industri (IR4.0) untuk masa hadapan.
Justeru, Felda melalui Yayasan Felda menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU) bagi menyediakan program pendidikan Global Digital Leadership (GL) yang merangkumi pelbagai bidang pengkhususan pengajian berteraskan teknologi terkini demi pembangunan modal insan generasi baharu Felda.
Kerjasama strategik awam-swasta antara kedua-dua organisasi itu membolehkan sebanyak 13 pelajar cemerlang yang merupakan cucu peneroka dan anak-anak kakitangan kumpulan Felda termasuk FGV mengikuti program pengajian sehingga ke peringkat ljazah Sarjana Muda.
Program itu melibatkan kos keseluruhan RM1.5 juta yang merangkumi Program Pengajian Akademik, Program Intensif Bahasa Inggeris (IEP), Program Linguistik euro (NLP), kelas bahasa asing (bahasa Korea), yuran kediaman dan elaun sara diri pelajar selama empat tahun enam bulan.
Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh berkata, kerjasama itu mengangkat taraf pendidikan serta pembangunan generasi baharu Felda bagi meningkatkan mobiliti sosial warga Felda keseluruhannya.
“Dengan termeterainya MoU ini, saya yakin dan percaya aspirasi pendidikan generasi baharu Felda diperkasakan seiring penguasaan digital yang akan menjadi penggerak masa hadapan yang lebih maju.
“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi terkemuka seperti APU untuk menerajui program bersama dalam bidang teknologi.
“Langkah ini akan menjadi sumber inspirasi dan motivasi untuk generasi baharu Felda terus berinovasi dan melakar kejayaan di peringkat dunia selepas mereka tamat pengajian dan menjadi modal insan bagi menjayakan matlamat menjadikan Felda sebuah organisasi setaraf Fortune 500,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian MoU di antara Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd. Banuri Aris dan Pengarah Eksekutif APU, Mohd. Helmy Norman.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif APU, Datuk Parmjit Singh berkata, pelajar yang terpilih diharap bakal menjadi pelajar muda yang lebih bermotivasi tinggi, graduan yang berkebolehan tinggi dan mempunyai kebolehpasaran pekerjaan pada masa depan khususnya dalam pelbagai bidang teknologi pilihan mereka.
“Kami yakin melalui kerjasama ini, pelajar-pelajar bukan sahaja akan berdaya saing di peringkat tempatan tetapi juga akan membangunkan tahap kesedaran dan daya saing global yang tinggi dengan belajar dalam persekitaran pembelajaran berbilang budaya yang merangkumi lebih daripada 130 buah negara di kampus APU,” jelasnya.
Program GDL ini menawarkan sebanyak 18 kursus berasaskan teknologi seperti Teknologi Maklumat (IT), Sistem Sekuriti, Kejuruteraan Awan, Pengkomputeran Rangkaian, Teknologi Mudah Alih, Internet Kebendaan (loT), Transformasi Digital, Teknologi Kewangan (FinTech), Sistem Maklumat Perniagaan, Kejuruteraan Perisian, Sains Komputer, Data VRIAR dan Pembangunan Permainan Komputer.
Dalam pada itu, seorang penerima biasiswa, Adham Muqriz Jazlan berkata, peluang tersebut merupakan platform terbaik untuk menyumbang kepada Felda di masa hadapan.
“Saya ditawarkan mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pengkomputeran Rangkaian dan selepas menamatkan pengajian nanti, saya mahu menyumbang dengan mewujudkan platform rujukan untuk seluruh warga Felda dan peneroka,” ujarnya. – UTUSAN










