PETALING JAYA: Eksport minyak dan produk-produk berasaskan minyak sawit Malaysia, menokok sebanyak 55.2 peratus kepada RM67.48 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, daripada RM43.47 bilion tempoh sama 2021.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 66.1 peratus adalah hasil eksport daripada minyak sawit, berjumlah RM44.63 bilion berbanding hanya RM28.8 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, dari segi volum, eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan sawit meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada 11.47 juta tan metrik (MT) daripada 11.15 juta MT tahun lalu.
“Malaysia merekodkan eksport yang kukuh walaupun berlaku kemerosotan harga minyak sawit mentah (CPO) dan penyusutan pengeluaran CPO sebanyak 1.1 peratus kepada 8.27 juta MT sepanjang tempoh berkenaan berbanding 8.36 juta MT dalam tempoh separuh pertama 2021.
“Kemerosotan disebabkan pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang menyusut sebanyak 3.6 peratus per hektar sepanjang Januari hingga Jun 2022, berbanding 7.16 tan per hektar tempoh sama tahun lalu.
“Sementara itu, lonjakan mendadak dalam hasil eksport sebahagiannya disebabkan peningkatan harga Minyak Sawit Mentah CPO, baik di dalam atau luar negara. Antara Januari hingga Jun 2022, harga CPO melonjak sebanyak 55.9 peratus kepada RM6,330 per MT daripada RM4,061.50 per MT bagi tempoh sama 2021,” katanya dalam kenyataan.
Zuraida berkata, mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hasil daripada eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit bagi tempoh Januari hingga Mei 2022 meningkat kepada RM56.47 bilion, peningkatan sebanyak 58.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Beliau yang gembira dengan pencapaian itu berkata, lonjakan hasil akan menyaksikan peningkatan dalam pendapatan yang kemudian boleh menyumbang dalam bentuk pelbagai cukai untuk digunakan oleh kerajaan bagi melaksanakan program-program berkaitan sosio-ekonomi yang penting bagi mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi negara daripada kesan pandemik
Covid-19.
“Kementerian dan saya secara peribadi amat gembira melihat sawit atau ‘tanaman emas’ kita sudah dapat diterima dengan meluas di peringkat global seperti ditunjukkan dalam bentuk eksport yang menggalakkan dalam tempoh separuh
pertama 2022.
“Kementerian yakin potensi dan prospek untuk minyak sawit Malaysia akan kekal cerah untuk tempoh separuh kedua 2022, memandangkan penerimaan global kepada komoditi negara sudah semakin meluas, termasuk oleh pasaran-pasaran
yang bukan tradisional.
“Saya melihat perkembangan ini sebagai satu kejayaan daripada kempen KPPK, iaitu ‘Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit’ atau ‘The Global Movement to Champion the Goodness of Palm Oil’ yang bertujuan menepis dakyah-dakyah dan maklumat-maklumat salah mengenai komoditi terbesar Malaysia ini,” kata beliau. – UTUSAN








