Ekonomi Malaysia berkembang 8.9 peratus suku kedua 2022 - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia berkembang 8.9 peratus suku kedua 2022

Kerajaan disaran luluskan dahulu Bajet 2023 sebelum bubar Parlimen. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 berbanding 5.0 peratus yang dicatatkan dalam suku pertama.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, Walaupun KDNK meningkat sebahagiannya disebabkan oleh asas yang rendah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada Jun 2021, pertumbuhan pada April dan Mei 2022 menunjukkan prestasi yang kukuh.

“Permintaan dalam negeri terus kukuh, disokong oleh pemulihan keadaan pasaran pekerja yang stabil dan sokongan dasar yang berterusan. Pertumbuhan yang lebih tinggi juga mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik dan sempadan antarabangsa dibuka semula.

“Eksport terus disokong oleh permintaan yang kukuh untuk produk elektrik dan elektronik (E&E). Dari segi sektor, pertumbuhan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan sektor perkilangan,” menurut kenyataan.

Bank pusat berkata, pada suku kedua, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing meningkat sebanyak 2.8 dan 2.5 peratus berbanding 2.2 dan 1.7 peratus pada suku pertama.

“Inflasi teras yang lebih tinggi mencerminkan keadaan permintaan yang bertambah baik dalam persekitaran kos yang tinggi dengan kenaikan harga yang didorong terutamanya oleh makanan di luar rumah dan barangan makanan lain,” ujarnya.

Susulan pertumbuhan pada separuh pertama 2022 sebanyak 6.9 peratus, ekonomi Malaysia diunjurkan terus berkembang bagi bulan-bulan yang akan datang pada tahun ini.

Mengulas tentang prospek tahun ini, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah menjelaskan, meskipun permintaan luaran mungkin terkesan oleh pertumbuhan global yang lebih perlahan, ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.

“Pertumbuhan juga akan mendapat manfaat daripada keadaan pasaran pekerja yang semakin pulih dan ketibaan pelancong yang lebih banyak serta pelaksanaan projek pelaburan berbilang tahun.

“Walau bagaimanapun, pertumbuhan Malaysia terus terdedah kepada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang lebih meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin buruk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya