PETALING JAYA: Pembukaan kegiatan ekonomi domestik negara yang lebih luas pada suku kedua dan pemulihan sektor pelancongan dijangka memacu pertumbuhan negara pada kadar sekurang-kurangnya lapan peratus pada suku terbabit.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pembukaan sempadan antarabangsa kepada pelancong asing bermula 1 April menggalakkan pemulihan sektor pelancongan.
Katanya, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 dengan suntikan tunai kepada ekonomi domestik dan aktiviti domestik seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri serta cuti sekolah telah memberikan kesan positif dengan peningkatan aktiviti perniagaan di sektor seperti pengangkutan, pelancongan, runcit dan makanan.
“Selain itu, pengecualian cukai jualan kenderaan sehingga akhir Jun turut menggalakkan jualan pada suku kedua. Namun begitu, jika dibandingkan pertumbuhan pada suku sama 2021 iaitu pada 16.1 peratus, ia adalah lebih baik setelah menguncup sebanyak 17.1 peratus pada suku sama 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Secara Matematik, pencapaian suku kedua tahun ini adalah selaras dengan suku sama pada 2019 (4.4 peratus) iaitu sebelum pandemik Covid-19. Ini adalah petanda positif bahawa ekonomi domestik negara mampu pulih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Beliau mengulas unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2022 yang akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Jumaat ini.
Sementara itu, Aimi Zulhazmi memberitahu, ekonomi semasa berdepan dengan cabaran getir walaupun ekonomi domestik negara memberikan pertanda yang baik berikutan negara aktif dalam perdagangan antarabangsa iaitu pada kedudukan 20 pengeksport dan 25 pengimport di dunia.
Jelasnya, kebergantungan import makanan yang tinggi oleh negara telah mencecah RM63 bilion, turut menjadi faktor kenaikan kadar inflasi.
“Kemorosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) turut memberikan cabaran besar kepada ekonomi negara terutamanya dalam mengimport barang makanan dan barang mentah untuk diproses bagi dieksport semula.
“Kebergantungan negara kepada buruh asing turut melemahkan pemulihan ekonomi, walaupun kadar pengangguran telah menurun dgn pembukaan ekonomi.
“Peralihan kepada teknologi tinggi dalam sektor seperti perladangan, pembinaan dan pengilangan tidak berlaku seperti yang diharapkan. Aliran keluar mata wang ringgit melalui penghantaran upah ke negara masing-masing turut menjadi faktor kelemahan mata wang,” ujarnya.
Beliau memberitahu, perusahan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengadaptasi transformasi penggunaan digital ekonomi termasuk logistik dan pengangkutan sepantas mungkin untuk kembali bangun.
“Kerajaan melalui bank dan agensi perlu turun padang bertemu penjaja di pasar untuk mempercepatkan adaptasi teknologi digital dalam perniagaan sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN









