PETALING JAYA: DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) melalui anak syarikat milik penuhnya, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) akan meluaskan kehadirannya dalam pasaran perkhidmatan selepas jualan melalui usaha sama dengan jenama servis pantas kelima terbesar di dunia, Petromin Express, anak syarikat Petromin Corporation (Petromin).
EON hari ini menandatangani perjanjian usaha sama dengan Petromin Arab Saudi untuk menceburi bidang servis kenderaan yang pantas. Usaha sama baharu yang dicadangkan dikongsi 51:49, antara Petromin dan EON.
Menurut DRB-HICOM, usahasama itu bertujuan mengabungkan keupayaan dan penglibatan EON dan DRB-HICOM dalam rantaian nilai automotif dengan kepakaran operasi dan rekod prestasi Petromin dalam model francais selepas jualan pantas bagi merebut peluang segmen selepas jualan yang pesat berkembang sejajar dengan objektif strategik kedua-dua pihak.
Majlis menandatangai perjanjian antara kedua-dua syarikat telah diadakan di Wisma DRB-HICOM. EON diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Akkbar Danial, manakala Petromin oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kalyana Sivagnanam.
Majlis itu disaksikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar.
Syed Faisal percaya, usaha sama itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Kata beliau, kerjasama Petromin dengan DRB-HICOM akan membolehkan ia memasuki pasaran perkhidmatan selepas jualan Malaysia yang menguntungkan hasil dari kerjasama dengan jenama korporat yang terkenal dan dipercayai dalam sektor
automotif.
“Pengetahuan dan pengalaman mereka yang luas ditambah pula dengan data pasaran dan jangkauan pelanggan yang luas DRB-HICOM akan mewujudkan sinergi ideal yang mendorong perkongsian ini ke tahap yang lebih tinggi. Pada masa yang
sama, kami sangat teruja untuk menawarkan perkhidmatan baharu, berpatutan dan mudah kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Akkbar pula berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Petromin dan melebarkan kehadirannya dalam pasaran selepas jualan.
“Yang pastinya, (ia) akan melengkapkan perniagaan selepas jualan berasaskan OEM kami yang sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Kalyana pula berkata, Petromin secara aktif berusaha untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin industri yang mempunyai visi yang sama di seluruh dunia.
“Dan menjadi rakan niaga DRB-HICOM adalah penting dalam menjalin kepakaran, rangkaian, produk dan perkhidmatan ke pasaran tempatan. Oleh itu, kebarangkalian untuk berjaya adalah besar,” katanya.
Menurut DRB-HICOM, syarikat usaha sama itu menyasarkan operasi perintis bermula pada Januari 2023, dengan empat cawangan dalam tempoh 18 bulan projek perintis dilaksanakan.
Jelasnya, berpandukan kepada model cawangan Petromin Ekspres, yang sangat berjaya di Arab Saudi, syarikat usaha sama itu akan menawarkan pengalaman unik perkhidmatan selepas jualan pantas dengan masa membaik pulih yang cepat.
“Usaha sama ini bertujuan untuk menguasai sebahagian pasaran selepas jualan automotif yang besar dan berkembang di Malaysia, yang telah menjana perolehan kira-kira RM42 bilion pada 2021.
“Walaupun perkhidmatan akan ditawarkan kepada semua jenis kenderaan, syarikat ini akan mensasar kenderaan lepas jaminan yang berumur antara 5 dan 10 tahun. Projek perintis ini akan membolehkan pengurusan melengkapkan pelan hala tuju strategik yang lebih komprehensif untuk perniagaan termasuk keperluan modal untuk pengembangkan rangkaian perniagaan,” katanya. – UTUSAN










