BIMB catat untung sebelum zakat dan cukai RM340.5 juta

BIMB catat untung sebelum zakat dan cukai RM340.5 juta

MOHD. MUAZZAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) merekodkan Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai (PBZT) berjumlah RM340.5 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022,  penurunan sebanyak 28.3 peratus atau RM134.5 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan berasaskan dana bersih BIMB meningkat sebanyak RM41.5 juta atau 4.7 peratus dipacu oleh pertumbuhan pembiayaan tahun ke tahun.

Walau bagaimanapun, ia diimbangi oleh penyusutan pendapatan bukan berasaskan dana sebanyak RM100.1 juta berbanding setengah tahun pertama 2021 ekoran keadaan pasaran yang kurang memberangsangkan.

Peruntukan bersih Kumpulan untuk pembiayaan dan pendahuluan terjejas meningkat sebanyak RM31.6 juta atau 69.3 peratus kepada RM77.1 juta berbanding separuh pertama tahun lalu.

Sementara itu, bersandarkan pada aktiviti ekonomi yang semakin meningkat, PBZT Kumpulan untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2022, berkembang sebanyak RM21.9 juta atau 13.7 peratus kepada RM181.2 juta berbanding suku sebelumnya yang berakhir 31 Mac 2022.

Pengukuhan tersebut didorong oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi dan penurunan peruntukan bersih bagi pembiayaan dan pendahuluan.

Peningkatan itu diimbangi oleh perbelanjaan overhed yang lebih tinggi dan penurunan pendapatan bukan berasaskan dana.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, walaupun prestasi kumpulan lebih rendah pada separuh pertama tahun ini, asas perniagaan BIMB kekal utuh dengan pertumbuhan positif  tahun ke tahun dalam pembiayaan kasar serta akaun deposit dan pelaburan pelanggan yang masing-masing menunjukkan pengukuhan sebanyak 8.0 peratus  dan 13.6 peratus.

“Kami berpuas hati terhadap perkembangan signifikan akaun semasa, simpanan dan transaksi pelaburan (CASATIA) yang mencatatkan kenaikan 11.3 peratus tahun ke tahun untuk berada pada paras sihat sebanyak 37.8 peratus daripada jumlah akaun deposit dan pelaburan pelanggan setakat 30 Jun 2022.

“Jumlah Nisbah Modal kumpulan juga kekal kukuh pada 19.4 peratus  setakat 30 Jun 2022, didorong oleh sokongan kecairan yang teguh.

“Setakat 30 Jun 2022, nisbah pembiayaan terjejas kasar adalah 1.14 peratus.

“ Angka tersebut terus berada pada aras lebih baik berbanding nilai purata industri sebanyak 1.65 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, sementara terus berwaspada terhadap prospek tahun ini, khasnya melihatkan ketidaktentuan global, Kumpulan terus teguh dalam melaksanakan strategi pendigitalan dan membuat pelaburan demi pertumbuhan perniagaan seperti yang digariskan dalam pelan LEAP25.

“Kami sedang berusaha ke arah mengukuhkan kunci kira-kira, pada masa sama mengekalkan kualiti aset yang kukuh dan meningkatkan lagi kecekapan kos,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN