PETALING JAYA: BidNow Sdn. Bhd., pengendali BidNow, platform pembidaan di Malaysia, bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk membangunkan penyelesaian dan platform teknologi berkaitan keselamatan siber.
Ketua Pegawai Eksekutif BidNow, Frankie Goh Chee Keong berkata, pakatan itu merupakan usaha sama menyeluruh antara BidNow dan UTM termasuk teknologi Realiti Terimbuh (AR) dan Virtual Realiti Maya (VR), teknologi Web 3.0 dan juga bidang-bidang yang berkaitan dengan data analisis dan sains.
“Isu keselamatan siber kini menjadi topik yang semakin mendapatkan perhatian organisasi bertumpukan teknologi, sambil kita memasuki dunia Web 3.0, yang melibatkan teknologi sedang berkembang seperti AR dan VR.
“Menyedari hakikat ini, isu keselamatan siber menjadi keutamaan, menjadikan gambaran keseluruhan lebih rumit dalam usaha kita memastikan rangkaian dan data kita selamat untuk aplikasi masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Usaha sama itu ialah penglibatan pertama UTM dalam platform teknologi E-lelongan/bida, sekali gus menandakan mercu jaya penting untuk UTM dan juga BidNow bagi pengkomersialan produk dalam bidang sains digital dan teknologi.
Kerjasama turut meliputi bidang lain seperti reka bentuk kurikulum, penyelidikan, inovasi, keusahawanan dan tanggungjawab sosial.
Produk yang dihasilkan daripada pakatan ini akan dipromosikan dan dipasarkan bersama, yang juga akan melibatkan pengkomersialan produk penyelidikan UTM.
Dalam pada itu, kerjasama ini juga akan memberi peluang kepada kakitangan BidNow dan anak-anak syarikatnya untuk mengikuti program ijazah dan bukan ijazah, dan juga program pertukaran akademik dan kepimpinan di universiti.
Di samping itu, ahli-ahli akademik dan pelajar UTM berpeluang untuk menimba pengalaman dalam industri dan juga menjalani latihan amali dan mendapatkan bimbingan di BidNow dan anak-anak syarikatnya. – UTUSAN










