SHAH ALAM: Syarikat pembekal bateri, Bateriku (Malaysia) Sdn. Bhd. (Bateriku.com) mengadakan kerjasama dengan syarikat Emerald Auto Sdn. Bhd. (Emerald-Brembo) bagi menawarkan produk alas brek asli Brembo di kesemua pitstop Bateriku.com yang terpilih.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com, Azarol Faizi, Bateriku.com sebagai pembekal khidmat Connected Roadside Assistance Provider (CRAS) pilihan nombor satu negara kini turut akan menawarkan produk alas brek terkemuka dunia Brembo kepada semua lapisan masyarakat.
“Melalui tagline Every Car Deserves Brembo, produk yang ditawarkan melalui kolaborasi ini dimulakan dengan memberi fokus kepada kenderaan seperti Myvi, Proton, Perodua, Honda dan Toyota melalui ekosistem Bateriku.com yang kini telah menabur khidmat kepada hampir satu juta pelanggan.
“Pelanggan Bateriku.com, tidak kira lama atau baru akan ditawarkan alas brek Brembo yang berkualiti premium dengan harga yang mampu milik melalui Pitstop terpilih Bateriku.com,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Emerald-Brembo, Markz Lim.
Beliau menambah, idea kerjasama dengan Emerald-Brembo timbul setelah pihaknya melihat pelbagai senario kerosakan kenderaan termasuk kerosakan brek sepanjang lapan tahun sejak Bateriku.com ditubuhkan.
“Dengan reputasi brek Brembo dan prestasi produknya di peringkat automotif global, kami berbesar hati untuk berkolaborasi bersama pihak Emerald-Brembo yang merupakan pengedar rasmi produk Brembo di Malaysia. Dalam masa terdekat kita akan menawarkan produk tersebut di 10 pitstop kami yang terpilih,” katanya.
Dalam pada itu, Markz memaklumkan, dengan pengalaman lebih dari 40 tahun, Emerald-Brembo merupakan satu-satunya pengedar produk Brembo rasmi di Malaysia yang membekalkan pelbagai jenis variasi alas brek dan ‘brek disk’ untuk kesemua jenis model kenderaan di Malaysia.
Katanya, Emerald-Brembo berbangga dengan kolaborasi bersama Bateriku.com kerana percaya kolaborasi tersebut dapat membina ekosistem yang lebih baik bagi memberi kemudahan kepada pelanggan untuk membeli alas brek berkualiti di bawah harga RM200.
“Sebagai pengedar rasmi produk Brembo yang merupakan brek sistem bertaraf dunia dari Itali, kami yakin bahawa dengan Pitstop Bateriku.com, BHero dan BPreneur Bateriku.com di seluruh negara dapat memudahkan semua pengguna kenderaan untuk mendapatkan produk asli berkualiti tinggi dengan harga berpatutan,” ujarnya. – UTUSAN









