PETALING JAYA: Alaska Mining Sdn. Bhd. (Alaska) mengumumkan bahawa pemegang saham tunggalnya, Lee Hon Kit akan menjual 51 peratus kepentingan dalam syarikat bernilai A$5.0 juta (RM15.2 juta) di bawah perjanjian jualan saham kepada
Nanopac Alaska Sdn. Bhd. (NASB).
NASB adalah unit kepada Nanopac Innovation Limited (Nanopac), yang disenaraikan di National Stock Exchange of Australia berpangkalan di Sydney.
Secara asasnya, Nanopac terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan, pembuatan, pengedaran dan memberi perkhidmatan berkaitan bahan dan produk teknologi nano.
Perniagaan lain Nanopac merangkumi panel NanoSolar dan membekal bahan mentah kepada industri cat.
“Hon Kit adalah pemegang saham tunggal Alaska Mining, iaitu pakar bagi kerja-kerja tanah dan perlombongan serta pedagang bagi pelbagai jenis barangan dan penyedia perkhidmatan logistik.
“Di bawah perjanjian itu, penjualan 51 peratus kepentingan dalam Alaska Mining oleh Hon Kit kepada NASB akan disempurnakan dengan penerbitan saham baharu dalam Nanopac yang akan dibayar secara dua peringkat.
“Peringkat pertama saham baharu yang berjumlah A$2.5 juta (RM7.7 juta) akan dibayar secara pendahuluan selepas perjanjian jualan saham manakala peringkat kedua saham baru berjumlah A$2.5 juta (RM7.7 juta) akan dibayar selepas Syarikat mencapai untung bersih A$5.0 juta (RM15.2 juta).
“Sebagai sebahagian daripada perjanjian jualan saham, Hon Kit akan dilantik menjadi pengarah urusan Alaska Mining,” jelas syarikat itu dalam kenyataan bersama.
Menurut kenyataan itu, Hon Kit bersedia bekerjasama dengan NASB dan Nanopac membangunkan perniagaan melombong dan pada masa yang sama memastikan terdapat aliran tetap silika bagi pengeluaran
panel Nano-Solar dan ilmenit bagi produk catnya.
“Perolehan ini memberi kelebihan kepada Nanopac kerana ia memastikan aliran tetap bahan mentah bagi panel Nano-Solar dan produk sedia ada, yang sekiranya tidak, perlu diperoleh daripada pihak ketiga.
“Operasi perlombongan juga memberi sumber pendapatan berulang kepada Nanopac kerana silika dan ilmenit yang tidak diperlukannya akan dijual kepada pihak lain di samping memastikan operasi perlombongan kekal mapan secara komersial, berikutan perjanjian dagangan dengan kumpulan perniagaan China.” kata beliau.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif NASB, Tobby Tan mengalu-alukan kedatangan Hon Kit ke dalam Nanopac dan percaya dengan pengetahuan dan pengalamannya, syarikat akan dapat mengembangkan lagi perniagaan perlombongannya.
“Kami juga percaya bahawa perolehan kepentingan ini akan menambah kepada keupayaan pengeluaran kami dan adalah sesuatu yang positif kepada perkembangan perniagaan panel solar dan cat Nanopac,” katanya. – UTUSAN









