Zuri bangkit semula berniaga Kopi Biji Delima - Utusan Malaysia

Zuri bangkit semula berniaga Kopi Biji Delima

MOHD. Zuri Ismail (kiri) bergambar bersama ejen produk Kopi Biji Delima di Tanah Merah, baru-baru ini. Pemberita Zaid Mohd Noor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT terhadap bidang perniagaan yang mula berputik ketika menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor dipupuk dengan sebaiknya oleh seorang usahawan produk berasaskan buah delima, Datuk Mohd. Zuri Ismail, 47.

Beliau yang merupakan Pengasas dan Penasihat Eksekutif Gemilang Infinity Resources sanggup menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan semasa melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal di universiti itu pada 1993 hingga 1996.

Menurutnya, pada waktu itu, beliau membekalkan barangan keperluan kepada pensyarah dan rakan-rakan seperti kertas, pen serta kad nama.

Malah, katanya, beliau juga berniaga di pasar malam untuk mencari rezeki bagi membiayai perbelanjaan semasa belajar.  

“Saya merasa seronok berniaga walaupun masih belajar, namun saya tidak pernah mengabaikan pengajian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Jelasnya, minatnya terhadap bidang perniagaan diteruskan walaupun memasuki alam pekerjaan.

“Saya selepas itu bekerja dengan beberapa syarikat swasta tempatan dan luar negara dalam bidang kejuruteraan dan pemasaran di Johor, Singapura dan Terengganu,” ujarnya. 

Bagaimanapun menurutnya, pada 2010, beliau memulakan perniagaan sepenuh masa dengan memasarkan produk jus delima asli yang diimport dari United Kingdom (UK).

Katanya, produk jus delima asli itu mendapat sambutan yang menggalakan daripada pengguna di negara ini.

MOHD. Zuri Ismail menunjukkan produk Kopi Biji Delima
Pemberita Zaid Mohd Noor

Tambahnya, beliau juga dapat memasarkan produk tersebut ke beberapa buah negara lain seperti Brunei, Thailand, Indonesia, Filipina, China dan Croatia dalam tempoh dua tahun kemudian. 

“Saya selepas itu mengeluarkan produk sendiri, kopi delima. Alhamdulillah produk Kopi Delima itu juga laris di pasaran tempatan.

“Pada masa sama, saya juga memasarkan produk Kopi Delima itu ke luar negara,” katanya.   

Bagaimanapun, beliau memberitahu, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada tahun 2020 hingga 2021 telah menjejaskan perniagaannya itu.

Katanya, dalam tempoh dua tahun itu, beliau hanya memasarkan produk Jus Delima dan Kopi Delima secara dalam talian sahaja.

“Sepanjang pandemik Covid-19, perniagaan saya merosot apabila semua urus niaga melibatkan pasaran luar negara terpaksa dihentikan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Mohd. Zuri berkata, beliau mahu bangkit semula dalam perniagaan pada tahun ini dengan mengeluarkan produk baharu, Kopi Biji Delima. 

Menurutnya, produk itu baru memasuki di seluruh negara pada dua bulan.

“Dalam perniagaan ada pelbagai onak dan duri yang perlu ditempuhi. Sebab itu saya anggap kejayaan dan kegagalan menjadi lumrah dalam perniagaan.

“Sehubungan itu, saya bangkit semula daripada kejatuhan semasa pandemik Covid-19 dan saya mengharapkan perniagaannya baharu ini lebih berjaya selepas ini.

“Saya juga merancang untuk membuka kilang untuk mengeluarkan produk-produk berasaskan buah delima dengan nilai pelaburan RM1 juta di daerah ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai produk Kopi Biji Delima boleh hubungi Mohd. Zuri di talian 011-6559 8558. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya