Universiti Nottingham Malaysia johan TIAC 2022

Universiti Nottingham Malaysia johan TIAC 2022

MAHASISWA Universiti Nottingham Malaysia bersama hadiah selepas muncul johan Cabaran Dasar Monetari Kursi Tun Ismail Ali (TIAC) 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Tiga mahasiswa Universiti Nottingham Malaysia muncul johan Cabaran Dasar Monetari Kursi Tun Ismail Ali (TIAC) 2022.

Kumpulan tersebut dianggotai oleh Imran Danial Adi Firdaus, Lee Wenn Shian dan Wan Zulyahya Amri Shoberi, di bawah bimbingan penasihat kumpulan, Dr. Teo Wing Leong.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 serta peluang menjalani latihan industri bersama Bank Negara Malaysia (BNM).

Panel hakim menzahirkan rasa kagum dengan penilaian mendalam tentang keadaan ekonomi dan rasional bagi tindakan dasar monetari yang dirumuskan oleh kumpulan tersebut.

Penolong Gabenor BNM, Fraziali Ismail berkata, cabaran pada tahun ini bertujuan memberikan pendedahan kepada mahasiswa tentang perbincangan dan pertimbangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari BNM dalam menetapkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha BNM untuk meningkatkan pemahaman orang ramai tentang peranan BNM dalam menggalakkan kestabilan monetari,” katanya dalam kenyataan.

Cabaran TIAC mula diadakan sejak 2018 bagi memupuk minat terhadap dasar monetari dan dasar awam serta menggalakkan lebih banyak wacana mengenai isu-isu kontemporari dalam kalangan mahasiswa.

Setelah dihentikan seketika selama dua tahun disebabkan oleh pandemik Covid-19, Cabaran TIAC kembali pada tahun ini dengan tumpuan baharu iaitu perumusan dasar monetari.

Para peserta ditugaskan untuk menilai keadaan sebuah ekonomi rekaan dan mengambil tindakan dasar monetari yang wajar.

Sebanyak 27 mahasiswa yang disenarai pendek daripada tujuh universiti telah bersaing dalam Cabaran TIAC selama dua hari di Sasana Kijang, BNM.

TIAC ditubuhkan pada 2000 bagi memperingati Allahyarham Tun Ismail Ali yang merupakan rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Gabenor BNM.

TIAC bertujuan untuk menggalakkan penyelidikan, ulasan dan interaksi mengenai isu-isu yang berkaitan dengan dasar monetari dan kewangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×