PETALING JAYA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Hochschule Hannover (HsH) University of Applied Sciences and Arts, Jerman.
Kerjasama kedua-dua universiti juga memperkukuhkan hubungan strategik antara Malaysia dan Jerman dalam konteks Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras dunia.
Pada majlis itu, UTeM diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin, manakala HsH diwakili Naib Presiden Pengajaran dan Pembelajaran serta Hubungan Antarabangsanya, Prof. Dr. Dörte Heüveldop dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Bio Proses. Prof. Dr. Wolgang Strache.
Majlis disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.
Massila berkata, kerjasama strategik itu mampu memperkasa hubungan dua hala dalam semua bidang terutama dalam usaha berterusan kerajaan untuk menawarkan pengajian tinggi TVET melalui program ijazah berkembar antara UTeM dan HsH.
Katanya, perjanjian itu peluang buat UTeM meneroka kerjasama yang lebih erat dalam memperkasa program akademik terutamanya di peringkat sarjana muda, termasuk kerjasama penyelidikan dan pembangunan melibatkan pasca siswazah dan penyelidik dari kedua-dua institusi.
“MoA itu juga akan membuka lebih banyak peluang untuk Malaysia dalam meneroka potensi bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pendidikan di Asia Tenggara bagi pasaran Eropah terutamanya keterlihatan institusi pengajian
tinggi Malaysia khususnya dalam program TVET,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Dorte Heuveldop yakin kerjasama antara UTeM dan HsH amat berjaya di mana kedua-dua institusi sentiasa memberi penekanan yang kuat terhadap pengajaran berorientasikan amalan dan penyelidikan gunaan.
“Untuk itu HsH sentiasa berkerjasama rapat dengan industri dan institusi lagi dalam menyediakan pelajar untuk keperluan masa hadapan,” katanya.
HsH ditubuhkan pada 1971, merupakan antara universiti sains gunaan terbesar dan antara universiti awam terkemuka di Jerman. Jerman terkenal melalui reputasi dan kecemerlangannya dalam bidang sains gunaan, kejuruteraan elektrik,
kejuruteraan mekanikal dan bio-proses, media, informasi dan rekabentuk serta sains komputer dan perniagaan. – UTUSAN










